Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemuda Umno mahu Ku Li tanding presiden, KJ jadi ketua pembangkang

Ketua Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii mencadangkan agar Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan presiden parti.

Razlan juga mencadangkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

"Kita harapkan ada satu wajah pembaharuan. Buat masa ini kita lihat Tengku Razaleigh merupakan tokoh yang boleh kita ketengahkan untuk mengetuai parti.

"Saya merayu Tengku Razaleigh untuk mempertimbangkan bertanding sebagai presiden parti," katanya dalam sidang media selepas program Pemuda Umno yang memperkenalkan calon pemilihan Umno di Kompleks Yayasan Wangsa Perdana di Kuala Lumpur, semalam.

Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li sebelum ini berkata beliau mempertimbangkan untuk bertanding jawatan tertinggi Umno.

Veteran Umno yang berumur 81 tahun itu menjadi pilihan popular kerana beliu dilihat mempunyai imej yang tidak terjejas dengan skandal.

Setakat ini, Umno diterajui pemangku presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah menyerahkan borang untuk bertanding jawatan presiden.

Razlan menambah, dia tidak menolak Zahid, namun percaya wajah baru dalam pimpinan atasan Umno akan memenuhi harapan pemimpin akar umbi untuk pembaharuan.

"Kita tidak menolak Zahid sebagai presiden dan kami mengucapkan terima kasih kepadanya. Sesiapa sahaja yang terpilih kita akan menyokong sepenuhnya

"Tapi yang penting kita mesti beri satu pengharapan kepada akar umbi di bawah, kita memilih calon yang lebih elok dan boleh bawa wadah perjuangan Umno untuk kembali bangkit menerajui kerajaan pada satu hari nanti," katanya.

Seorang lagi yang dikatakan akan bertanding untuk jawatan presiden Umno adalah Rahmat Azim Abdul Aziz, atau lebih dikenali sebagai @MatUmno di Twitter.

Razlan akan bertanding untuk jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno.

Sementara itu, Razlan berkata Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin merupakan pilihannya sebagai ketua pembangkang BN di Parlimen.

"Memang kita harapkan Khairy Jamaluddin sebagai ketua pembangkang yang dilihat mempunyai karisma dan juga ada kekuatan berhujah.

"Ketua pembangkang tidak semestinya duduk di hirarki yang tertinggi di dalam parti. Tapi jika Khairy digandingkan Tengku Razaleigh, saya rasa Tun Dr Mahathir Mohamad pun akan gerun," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS