Langkah tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengundang anggota parlimen Umno ke majlis berbuka puasa di rumahnya semalam mengundang tanda tanya, menjelang pemilihan parti itu hujung bulan ini.
Apatah lagi di tengah-tengah khabar angin mengatakan tokoh yang dihormati itu mungkin akan bertanding merebut jawatan presiden.
Menurut beberapa anggota parlimen yang hadir ke majlis itu, Ku Li semalam menzahirkan kebimbangannya terhadap masa depan Umno ekoran tidak lagi memegang tampuk pemerintahan.
"Ia hanya majlis buka puasa dan tahlil, tiada ucapan. Ku Li beritahu dia risau masa depan parti, macam mana parti dapat dikuatkan kembali.
"Kami berbincang macam mana nak betulkan keadaan dan kelemahan parti. Ku Li suarakan secara santai," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Zahidi berkata majlis disertai lebih 100 hadirin termasuk kebanyakan anggota parlimen Umno yang menang pada PRU lalu.
Setakat ini hanya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sudah menyerahkan pencalonan bagi kerusi panas itu.
Ku Li yang meneruskan tugasnya sebagai Anggota Parlimen Gua Musang buat penggal kelapan belum membuat keputusan walaupun ada dakwaan beliau sudah mengadakan pertemuan dengan akar umbi parti sejak minggu lalu.
Ditanya soal kemungkinan pertembungan Zahid dan Ku Li, Zahidi menyatakan ia akan mencetuskan persaingan yang sihat.
"Jika tiada pertandingan, tak syok," katanya berseloroh.
Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pula menyifatkan Zahid dan Ku Li masing-masing mempunyai kelebihan dan cara tersendiri.
"Dua-dua ada kelebihan, hebat dengan cara masing-masing," katanya.
Ku Li baca sokongan
Bagi penganalisis politik Profesor Ahmad Atory Hussain, Ku Li menggunakan majlis tersebut bagi membaca tahap sokongan terhadapnya menjelang pemilihan kelak.
"Ini majlis buka puasa politik untuk beliau baca bahasa badan (pemimpin Umno) sama ada akan sokongnya sebagai presiden atau tidak," katanya (gambar).
Berbeza dengan sebelum ini, beliau berkata tanggungjawab mengemudi Umno menjadi sangat mencabar ekoran kekalahan dalam PRU dan Ku Li merupakan tokoh paling layak menggalasnya.
"Umno dalam keadaan kosong, tak ada gembala. Saya rasa Ku Li boleh pertimbang (untuk bertanding). Beliau pernah jadi naib presiden banyak penggal, jadi menteri kanan dan juga pengasas Petronas.
"Saya tak nampak orang lain. Zahid tak boleh kerana pengalamannya masih kurang, tidak seperti Ku Li," katanya sambil menambah parti itu akan merosot lebih daripada sekarang jika dipimpin oleh orang yang tidak berkebolehan.
Tidak seperti kelaziman, pemilihan Umno kali ini mempertandingkan semua jawatan termasuk presiden dan timbalan presiden.
Dan mungkin kerana tidak biasa, tidak ramai - sekurang-kurangnya setakat ini - yang berani menawarkan diri untuk dua jawatan itu.
Setakat ini, hanya bekas Menteri Besar Negeri sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang sah bertanding untuk kedudukan kedua tertinggi itu. Pemangkunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein buat masa ini belum membuat keputusan.
Penganalisis politik Prof Madya Lt Kol Ahmad Ghazali Abu Hassan berkata keadaan itu tidak mengejutkan kerana Umno kini bukan lagi parti yang menguasai kerajaan.
Justeru, katanya, parti itu tidak lagi boleh menawarkan apa-apa kepada ahlinya.
"Keghairahan orang untuk jadi ketua sudah lemah. Selain itu, tugas untuk mengembalikan kekuatan parti juga cukup berat," katanya.