Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: PAS tak terikat dengan HARAPAN, BN
Diterbitkan:  Jun 6, 2018 6:06 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

PAS hari ini menegaskan komitmennya untuk terus menjadi 'kuasa ketiga' dalam politik negara, seperti yang sering dinyatakan parti itu sebelum PRU bersejarah pada 9 Mei lalu.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu boleh bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan juga pembangkang BN.

"Sebagai pembangkang, PAS boleh bekerjasama dengan BN untuk membangkang secara matang (terhadap) apa asja yang negatif daripada kerajaan.

"Namun dalam mempertahankan kedaulatan negara, PAS boleh bekerjasama dengan Kerajaan HARAPAN.

"PAS tidak terikat dengan HARAPAN mahupun BN," katanya di Twitter, hari ini.

PAS sebelum ini sering menyatakan komitmennya sebagai 'kuasa ketiga' melalui Gagasan Sejahtera - gabungan parti itu dengan beberapa parti pembangkang kecil dan NGO.

Menjelang PRU ke-14, terutama sepanjang kempen, PAS dilihat lebih menghalakan kritikan kepada HARAPAN berbanding BN.

Bagaimanapun dua hari lalu, Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang - bersama-sama Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan pemimpin veteran Datuk Mustafa Ali - mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

PAS kini membentuk blok ketiga terbesar di Parlimen dengan 18 kerusi selain menguasai Terengganu dan Kelantan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS