Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, menawarkan diri sebagai calon exco Pemuda Umno.
Dia yang merupakan ahli Umno Wangsa Maju, membuat pengumuman itu dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Tema yang digunakannya adalah "berani, bertanggungjawab, berkorban".
Ahli Umno berusia 35 tahun itu mencuri tumpuan apabila Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah ke atasnya pada 2013.
Setahun kemudian, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati bahawa Wan Muhammad Azri bersalah kerana memfitnah Anwar dan memerintahkannya supaya membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 kepada pemimpin pembangkang itu.
Akibat membayar lewat, jumlah itu menjadi RM951,260.27 dan berjaya diselesaikan oleh blogger itu pada Disember lalu selepas mengumpul dana dari Umno Wangsa Maju dan melalui kutipan derma daripada pemimpin parti itu.
Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Wan Muhammad Azri pada mulanya bercadang untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan bagi menentang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau walau bagaimanapun, akhirnya menarik diri selepas BN memutuskan kerusi Pandan ditandingi oleh calon MCA, Leong Kok Wee.
Pemuda Umno dijadualkan mengadakan pemilihannya pada 23 Jun, bersama dengan sayap Puteri dan Wanita.