Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Malaysia baru' mungkin sebab saya disaman, kata Shahrir

Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad hari ini menyelar Pakatan Harapan (HARAPAN) berhubung fitnah RM100 juta yang difailkan Synergy Promenade Sdn Bhd, syarikat yang terlibat dalam pembangunan Kuala Lumpur Vertical City.

Syarikat berkenaan yang terlibat dalam skandal penukaran tanah Felda di Jalan Semarak memfailkan saman tersebut selepas mendakwa Sharir membuat kenyataan mengelirukan terhadap mereka.

"Ini luar biasa, tak pernah berlaku di mana seorang bekas pengerusi kepada agensi kerajaan disaman oleh sebuah syarikat swasta, dalam keadaan pengerusi agensi itu telah letak jawatan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Shahrir berkata memorandum persefahaman (Mou) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada Januari masih sah, yang mana sebahagian persetujuan telah dicapai bagi membolehkan Felda mendapatkan semula tanahnya.

Beliau menambah laporan polis yang dibuat oleh Felda pada Disember 2017 masih belum ditarik balik, sekali gus menunjukkan polis masih meneliti kes itu.

Beliau juga menyatakan rasa terkejut apabila mendengar jumlah ganti rugi yang diminta oleh plaintif.

"Saya tak faham apa pasal saya disaman. Tapi ini mungkin sebahagian apa yang kami lihat sebagai 'Malaysia baru', (dalam keadaan) Felda (masih) tak ada pengerusi baru dan tiada menteri bertanggungjawab," katanya.

"Malaysia baru" adalah istilah digunakan pemimpin HARAPAN selepas menewaskan BN buat pertama kali dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei.

Bagaimanapun, Shahrir berkata beliau tidak akan meminta maaf seperti yang dituntut oleh plaintif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS