Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Penasihat Undang-undang UiTM Professor Madya Dr Haidar Dyizauddin telah menukilkan pandangan bernas dalam isu mengenai UiTM baru-baru ini, bertajuk “UiTM untuk bumiputera: Kenapa perlu dipolemikkan?”

Tokoh akademik ini berkata, “Kita memandang sejarah bukanlah untuk melangkah ke belakang tetapi untuk menilai di mana kita berada sekarang dan mencorak masa hadapan”.

Ini kenyataan terpuji untuk melihat hubung kait seseuatu perkara dengan sejarahnya pada masa lampau.

Oleh itu wajar untuk kita melihat sebab-sebab Perkara 153 dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Adakah Perkara 153 ini bertujuan untuk memberikan hak istimewa kepada semua orang yang mengaku dan diakui berbangsa Melayu, atau adakah hak istimewa di dalam Perkara 153 ini adalah hanya untuk orang Melayu yang susah dan miskin?

Ramai yang beranggapan hak istimewa (atau "kedudukan istimewa”) orang Melayu seperti yang dirujuk oleh Perkara 153 dijanjikan penjajah British atas dasar Orang Melayu merupakan kaum pribumi di negara ini.

Dalam Laporan Jawatankuasa Kerja Cadangan Perlembagaan Bagi Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (Report of the Working Committee on the Constitutional Proposals for the Federation of Malaya Agreement 1948), pernyataan “...adalah menjadi tanggungjawab Pesuruhjaya Tinggi British untuk menjaga kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain” telah dirangka buat pertama kalinya dalam sejarah.

Maksud dan ruang lingkup peruntukan ini terkandung alam perenggan 143 yang menyatakan jawatankuasa kerja ini mengesyorkan negeri-negeri untuk menawarkan dan menggalakkan pendidikan dan latihan kepada Orang Melayu, bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam perkhidmatan kerajaan dan kehidupan umum di negara ini.

Ramai yang merujuk perkara ini dan juga kepada pernyataan-pernyataan yang dikeluarkan oleh pegawai kanan British pada zaman penjajahan bertujuan untuk melindungi kepentingan orang Melayu.

Ia telah dijadikan alasan untuk mengatakan peruntukan “kedudukan istimewa Orang Melayu” ini adalah satu warisan keistimewaan untuk orang Melayu sedari zaman penjajahan British.

Tetapi sejarah juga menunjukkan apa yang dilindungi penjajah British hanyalah kepentingan mereka sendiri dan kepentingan kaum pemodal atau peniaga kapitalis Barat, dan kaum pemodal lain-lain di Malaya dan juga kepentingan bangsawan Melayu.

Dalam perjanjian-perjanjian yang ditandatangani antara penjajah dan Istana, tiada langsung tercatat apa-apa pun mengenai keperluan penjajah untuk menjaga “kedudukan istimewa Orang Melayu”.

Ada juga yang menyalahkan Raja-raja Melayu di zaman tersebut ekoran perkara ini, tetapi perlu diingat mustahil bagi Raja-raja Melayu untuk bertindak di dalam zaman tersebut tanpa persetujuan pembesar-pembesar Istana. Perkara ini dihuraikan dalam buku Palace, Political Party and Power: A Story of the Socio Political Development of Malay Kingship oleh Dr Kobkua Suwannathat-Pian, yang pernah menjadi penyarah tamu di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Semasa zaman penjajahan British, orang Melayu terbanyak langsung tidak dipedulikan asalkan mereka dapat diperah dan dipergunakan bagi kepentingan ekonomi penjajah.

Bukan sahaja British memaksa orang Melayu untuk tinggal di kampung untuk bertanam padi, malah ada juga bangsawan Melayu yang menyokong sikap Penjajah British, contohnya ada yang tidak mahu orang Melayu terlibat dalam penanaman pokok getah atas alasan orang Melayu perlu menjaga identiti dan adat resam sebagai penanam padi.

Sistem pendidikan orang Melayu pula hanyalah untuk melahirkan para petani dan nelayan yang lebih baik daripada orang tua mereka, bukan wadah pendidikan yang sebenar-benarnya seperti sistem di sekolah-sekolah Inggeris.

Mereka yang mengkaji sejarah sistem Pendidikan negara dan sejarah ekonomi bangsa Melayu tidak dapat sekali-kali menafikan perkara ini.

Dasar afirmatif bukan untuk perkauman

Agak menarik apabila kita merujuk pula kepada Laporan Suruhanjaya Reid 1957 kerana perenggan 163 menyatakan terdapat kesulitan di dalam memberikan taraf istimewa hanya kepada satu kaum sahaja dan perkara ini juga diakui oleh wakil parti-parti Perikatan seperti yang terkandung di dalam perenggan yang sama.

Seterusnya, apabila kita merujuk kepada Kertas Putih Kerajaan Malaysia bertajuk “Ka Arah Negara Harmoni” yang diterbitkan pada tahun 1971, perenggan 13 menegaskan bahawa tujuan Perkara 153 adalah untuk memberikan kekuatan atau lonjakan kepada orang Melayu untuk maju dengan lebih cepat - kerana diakui kemajuan orang Melayu tidak berkadar dengan kaum yang lain.

Perenggan ini juga menyatakan kerajaan telah mangambil jalan itu untuk mempercepat rentak kemajuan orang Melayu agar mereka dapat bersaing pada tahap yang sama dengan kaum lain.

Bagaimanapun Kertas Putih itu langsung tidak memberi ruang kepada sentimen perkauman. Jelas bahawa peruntukan “kedudukan istimewa” Orang Melayu" dalam perlembagaan adalah untuk membantu mencapai keseimbangan ekonomi, bukannya atas dasar warisan keistimewaan bangsa.

Professor Madya Dr Haidar yang bernas ini seterusnya menulis, “Agak malang jika ada individu berhujah melihat peruntukan undang-undang mengenai perkara ini secara tekstual tanpa mengambil kira keseluruhan aspek secara pandangan prismatik”.

Pendapat ini penting dalam menegaskan kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan Perkara 153 adalah untuk orang Melayu sahaja, kerana kita juga perlu melihat perkara-perkara lain berhubung dengan Perlembagaan.

Berkenaan dengan “kedudukan istimewa Orang Melayu”, pelajar berakal sempurna yang mengkaji sistem sosial dan ekonomi sesuatu kaum yang berkait rapat dengan keistimewaan yang diberikan kepada kaum itu (dasar afirmatif) tidak akan dapat lari daripada mengkaji penyalahgunaan keistimewaan oleh golongan kaya kaum itu sendiri.

Dalam soal ini, banyak buku-buku ilmiah bertaraf dunia contohnya The Wretched of the Earth, Mitos Pribumi Malas dan Konsep Hero Dalam Masyarakat Melayu merekodkan masyarakat perlu sentiasa memantau “keistimewaan” yang diberikan kepada kaum yang terpilih kerana ia mungkin disalah guna dan dibolot oleh golongan kaya dan berpengaruh dari kaum itu sendiri.

Justeru Perenggan 16 dalam Kertas Putih itu jelas menyatakan niat kerajaan hanya untuk membantu orang Melayu yang layak dari keluarga yang kurang berkemampuan sahaja.

UiTM diwujudkan melalui akta di Parlimen Malaysia dan ia telah diselenggarakan dengan menggunakan wang pembayar cukai di Malaysia. Kemajuan dan kecemerlangan UiTM juga hasil daripada biaya mereka.

Akta UiTM ini juga tidak dapat lari daripada kekangan bawah Perlembagaan Persekutuan kerana perkara yang bercanggah dengan Perlembagaan adalah terbatal dan tidak sah.

Justeru dasar untuk kemasukan bumiputera di dalam institusi itu perlu dilakukan dalam perkadaran yang munasabah - tanpa mengira dalam bentuk apa dasar itu dirangka dan apa pun tafsirannya.

Banteras sentimen segera

Kuota ini pula perlu dipastikan hanya untuk mereka yang layak berdasarkan faktor ekonomi. Malang jika anak pembesar negara yang kaya dibenarkan belajar di UiTM.

Sentimen kaum juga dapat dilihat dari segi keterlibatan kakitangan universiti dalam politik. Selama ini terdapat undang-undang yang melarang pensyarah dan pentadbiran tertinggi universiti untuk terlibat aktif di dalam politik.

Akan tetapi undang-undang ini tidak dipedulikan apabila mereka terlibat aktif dalam Umno atas alasan “demi perpaduan bangsa Melayu”.

“Kesetiaan kepada kerajaan” telah sewenang-wenangnya disalah tafsir untuk menghalalkan “kesetiaan kepada Umno”.

Terdapat kakitangan universiti yang bertanding memegang jawatan serta berkempen di dalam dan di luar universiti untuk parti itu. Mereka yang dilihat menyokong pembangkang pula dizalimi dan dilayan secara tidak adil.

Ada juga pensyarah yang diminta untuk berjanji tidak akan melawan mana-mana kakitangan universiti yang aktif dalam Umno. Mereka yang bergiat aktif dalam politik ini telah diberi pangkat dan keistimewaan walaupun ia bersalahan dengan undang-undang.

Inilah bahayanya jika sentimen dibiarkan berakar umbi apatah lagi dalam universiti awam.

Saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini agar pegawai kerajaan tulus dan ikhlas bekerja dalam menyokong kerajaan perlu dilihat secara serius.

Di universiti awam, sudah tiba masa untuk membanteras sentimen ini dan mengenakan tindakan kepada mereka yang terlibat.

Kita tidak mahu lagui mendengar ada professor beralasan “saya tidak boleh menolong anda kerana parti pemerintah sedang menekan saya. Saya juga tidak dapat menolong kerana anda tidak menyokong Agenda Perpaduan Melayu”.


MOHD NAZIM GANTI SHAARI adalah pensyarah undang-undang UiTM.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS