Tidak lagi menjadi sorotan seperti sebelum ini Datuk Seri Najib Razak lebih banyak membuat kenyataan yang kurang ranggi.
Pernah menempelak musuh politik Umno dan BN dengan gaya yang tegas, anggota parlimen pembangkang dari Pekan itu akhir-akhir ini bersikap lebih sederhana.
Pagi ini beliau menciap di Twitter dengan memetik ayat al-Quran.
"Walau betapa perit dugaan, ingatlah firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 214, mafhumnya: Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat," katanya.
Najib meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN beberapa hari selepas namanya serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen sebagai langkah menghalang mereka meninggalkan negara ini.
Pada 16 Mei pula kediaman pasangan terbabit digeledah oleh sekumpulan pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
Turut digeledah, tiga unit kondominium yang terletak di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, Pavilion Residence. Dua daripada kediaman mewah itu adalah milik anak Najib dan Rosmah, manakala satu lagi kepunyaan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri.
Dapat reaksi pelbagai
Penggeledahan polis turut menemukan sejumlah jongkong emas, wang tunai berjuta ringgit serta beg tangan berjenama mewah.
Esok Rosmah dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan dalam siasatan syarikat SRC International Sdn Bhd yang dikaitkan dengan 1MDB.
Rosmah diarah hadir ke Putrajaya pada jam 11 pagi.
Sebelum ini Najib hadir memberi keterangan di SPRM selama dua hari, masing-masing pada 23 dan 24 Mei lalu.
Beliau menghabiskan masa kira-kira tujuh jam pada hari kedua di SPRM. Bagaimanapun tidak seperti dijangkakan sesetengah pihak, beliau tidak ditahan selepas itu.
Kata Najib Ramadan bukan sekadar bulan untuk berpuasa.
"Bulan Ramadan selain bulan berpuasa dan penuh rahmat, juga adalah bulan penginsafan dan menilai erti kesyukuran," katanya.
Baca 'Kepala bapak kau!'
Ciapan itu mengundang reaksi yang pelbagai. Walaupun kebanyakannya bersifat sinis dan mengecam, ada juga pengguna Twitter tampil membela beliau.
Pengguna dikenali sebagai @Sipotzz misalnya menciap balas: "Datuk Seri Najib juga yang bantu tahfiz, sekolah agama, program uama & umara', taja orang kampung pergi haji, pujuk Arab Saudi bagi rakyat pergi haji dengan cepat dan selesa. Mahathir? Dengan kroninya sahaja. Setakat bersaf dengan marhaen di masjid, tapi di belakang keji Islam & rakyat."
Ciapan balas lain ialah: "Semoga dipermudahkan esok... amin. Jika di pihak benar, tiada apa hendak ditakutkan..." kata pengguna Twitter @healogix.