MCA tidak akan lagi memikul tanggungjawab atas kesalahan Umno, kata timbalan presidennya Datuk Seri Wee Ka Siong.
Dalam wawancara bersama Sin Che Daily semalam, Wee membayangkan BN tidak lagi seperti dulu dan berkata MCA kini akan membuat keputusan sendiri.
"Bawah pimpinan sekarang, apa saja yang diperkatakan Umno bukan lagi tanggungjawab kami.
"Apa saja (hal salah) yang dikatakan bekas menteri dan pemimpin dulu, saya tidak akan 'membayar' bagi pihak mereka. Maaf, kami tidak akan lagi berbuat demikian," katanya.
Pada masa lalu, parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Gerakan banyak kali dituduh sebagai tunduk dan menjadi alat kepada Umno.
Selepas PRU ke-14, MCA kini hanya tiggal satu kerusi Parlimen, MIC dua dan Gerakan kalah secara keseluruhan.
"Daripada 15 kerusi kepada tujuh, kini kami hanya ada satu," kata anggota parlimen Ayer Hitam itu.
Dalam Perikatan - pendahulu BN - Umno, MCA dan MIC membentuk kerajaan persekutuan Malaysia yang pertama, sebelum menjadi teras kepada BN pada 1973.
Berhubung sama ada MCA akan kekal dalam BN, Wee berkata hanya masa yang akan menentukan.
"BN menanggung kekalahan besar. Jika anda tanya apa yang akan berlaku esok, tiada siapa tahu.
"MCA kini dalam proses pemulihan...kami kini terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak. Apakah asas kepada kerjasama kami? Ia tidak akan lagi menggunakan bentuk lama.
"(Tiada lagi yang boleh berkata) menurut tradisi kita perlu berbuat itu dan ini," katanya sambil menambah masa depan bagi Umno dan BN kini tidak dapat dijangka.
Bentangkan minit kabinet
Katanya lagi, beliau berharap kerajaan baru akan membentangkan minit kabinet berkaitan 1MDB kepada umum, untuk menunjukkan apakah yang telah dikatakan pemimpin MCA tentang isu itu.
Beliau berkata kabinet kerajaan dulu pernah berbincang untuk mengarahkan Ketua Audit Negara menyiasat 1MDB dan menyerahkan hasil siasatan kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).
Namun hasil siasatan itu tidak pernah dibentangkan kepada kabinet.
Dalam mesyuarat lain pula, kata Wee, kabinet mempersoalkan pengurusan 1MDB berhubung perancangan untuk menguruskan hutangnya.
"Saya harap apa yang saya katakan (dalam mesyuarat itu) akan didedahkan. Selepas ia dibuka kepada umum, kita boleh berbincang tentangnya.
"Saya tidak takut (kerajaan) mendedahkannya kepada umum," katanya lagi.