Semua sembilan ADUN BN Perlis yang memulaukan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar memohon ampun kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menerusi satu sidang media, hari ini.
Permohonan ampun itu diketuai oleh Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin bersama tujuh wakil rakyat Umno pada satu sidang media di sebuah hotel di Perlis.
Mereka bagaimanapun tetap menolak Azlan sebagai menteri besar negeri itu.
“Sidang media hari ini, kita minta maaf (pada Raja) dan kekal menolak Azlan Man.
“Tak ada siapa yang lari. Kita taat setia pada raja, harap salah faham dengan raja dapat diselesaikan cuma semua tak nak Azlan Man.
“Kita yakin rakyat faham, kenapa kita tak mahu (Azlan) kita akan terangkan pada tuanku,” katanya menerusi sidang media yang disiarkan di Facebook Astro Awani.
Zahidi berkata semua ADUN itu sedang menunggu masa yang sesuai daripada Tuanku Syed Sirajuddin untuk mengadap.
Pada 24 Mei lalu, sembilan ADUN Umno Perlis memulaukan istiadat angkat sumpah pelantikan Azlan selaku menteri besar yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau.
Mereka turut mengadakan sidang media pada hari yang sama di PWTC dan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menuntut supaya Azlan dipecat dari Umno.
Sehingga kini Perlis merupakan satu-satunya negeri yang masih belum menamakan barisan exco selepas BN memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Berdasarkan konvensyen, Raja Perlis perlu melantik ADUN yang mendapat keyakinan majoriti sebagai menteri besar.
Sebelum ini semua ADUN berkenaan membantah pelantikan Azlan dan membuat laporan polis kerana menganggap pelantikan berkenaan bertentangan perlembagaan persekutuan dan undang-undang negeri.
Sementara itu, Zahidi yang juga Anggota Parlimen Padang Besar itu turut menolak bahawa pilihan raya negeri perlu diadakan semula kerana BN telah memenangi kerusi majoriti di negeri itu.
“Rakyat dah pilih BN, kami majoriti menang. Kami menang atas daya usaha perkenan rakyat yang bekerja di kawasan, rakyat dah buat keputusan dan kami nak berkhidmat pada rakyat,” katanya.