Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kesetiaan kakitangan awam yang secara terbuka berkempen untuk BN pada pilihan raya umum ke-14 bulan lalu.
Keadaan itu, katanya akan mengganggu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang dibentuk susulan kemenangan mereka pada pilihan raya 9 Mei lalu.
Dr Mahathir berkata ramai daripada penjawat mengambil bahagian dalam kempen parti itu, ada di antaranya dilakukan secara sukarela.
"Ramai kakitangan awam, sama ada secara sukarela atau tidak, berkempen untuk BN.
"Kita sangsi dengan kesetiaan mereka, sama ada mereka masih pegang kesetiaan kepada parti dan kerajaan lama dan bukan kerajaan sekarang, ini akan mengganggu pentadbiran HARAPAN.
"Kita (HARAPAN) ingin mentadbir ikut cara-cara kita, manifesto kita, dan kita perlu kerjasama daripada pegawai- pegawai ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Petaling Jaya, hari ini.
Sementara itu, Bernama melaporkan pertemuan itu disertai pimpinan utama BERSATU, PKR, DAP dan AMANAH, dan sidang media turut disertai Ketua Umum HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata walaupun penjawat awam berhak mengundi mana-mana parti pilihan masing-masing, namum mereka tidak sepatutnya menyokong secara terbuka atau berkempen untuk mana-mana parti politik semasa menjalankan tugas.
"Kita ingin tentukan sama ada kita akan mendapat kerjasama daripada pegawai-pegawai ini untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan semasa iaitu kerajaan Pakatan Harapan.
"Inilah yang menjadi masalah kepada kita, ada juga beberapa masalah lain yang kita harap akan dapat di atasi bagi melicinkan pentadbiran kerajaan," katanya.
Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang tidak setia itu, perdana menteri berkata kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya menghukum.
"Itu bukan cara kami dalam melakukan sesuatu perkara. Tetapi kami perlu tahu akan kesetiaan penjawat awam ini kerana mereka sendiri terbabit dalam menyebarkan propaganda kerajaan terdahulu.
“Jadi kami harap mereka akan mengubah sikap mereka dan kembali menjadi berkecuali tetapi pastinya mereka perlu melaksanakan dasar-dasar dan arahan kerajaan baru,” katanya.
Dr Mahathir berkata jumlah penjawat awam yang terlibat 'agak 'ramai' dan memberitahu pihaknya juga mempunyai rakaman kegiatan segelintir penjawat awam yang berkempen secara terang-terangan untuk parti pada pilihan raya yang lalu.