Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tangani masalah pertanian di Cameron Highlands - ADUN
Diterbitkan:  Jun 1, 2018 8:45 AM
Dikemaskini: 1:18 AM

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub digesa memberi perhatian sewajarnya kepada permasalahan pertanian di Cameron Highlands.

Sehubungan itu, ADUN Kawasan Tanah Rata, Chiong Yoke Kong, dalam surat terbukanya kepada Salahuddin, menyuarakan pandangan sebagai input yang boleh dipertimbangkan dalam membangunkan Cameron Highlands sebagai pengeluar utama makanan dunia.

"Cameron Highlands yang berbukit di Banjaran Titiwangsa digunakan untuk ladang teh sejak zaman British dan tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan secara kecil-kecilan sebelum tahun 1960-an.

"Sekarang Cameron Highlands sudah menjadi sebagai pusat pelancongan dan penanaman tanah tinggi yang popular di negara ini," kata Chiong.

Menurutnya, kebanyakan tanaman di situ adalah untuk pasaran tempatan dan sebahagiannya lagi untuk pasaran eksport seperti ke Singapura, Jepun, Thailand, Korea Selatan Hong Kong, Taiwan dan sebagainya.

Guna tanah untuk tujuan pertanian di Daerah Cameron Highlands adalah 7508.28 hektar ataupun 10.54 peratus daripada keseluruhan keluasan daerah berkenaan.

Selain itu, tambahnya, 47.6 peratus guna tenaga di daerah Cameron Highlands adalah terlibat dalam industri pertanian, manakala nilai pengeluaran tanaman telah mencatatkan sebanyak RM2,945,645 juta.

"Inilah menyumbangkan banyak kepada ekonomi Malaysia dan menjadikan Cameron Highlands sebagai sebuah pusat pengeluaran tanaman di Malaysia," tegasnya.

Namun begitu, katanya. perancangan guna tanah yang didakwanya amat teruk selama ini, telah mengakibatkan pelbagai masalah kepada pekebun dan alam sekitar Cameron Highlands.

"Kebanyakan pekebun di Cameron Highlands diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) untuk mengusahakan aktiviti pertanian.

"LPS merupakan lesen guna tanah yang tidak terjamin dan mempunyai banyak sekatan dalam pembangunan industri pertanian.

"Hal sedemikian sebenarnya merupakan punca utama berlakunya amalan aktiviti pertanian yang tidak mampan dan mendatangkan pelbagai kesan buruk untuk alam sekitar," katanya.

Di samping itu, Chiong mendakwa, pekebun di Cameron Highlands juga tidak diberikan bantuan dalam sebarang aspek seperti pemberian insentif untuk baja, racun serangga, bekalan air, benih tanaman, bantuan teknikal dan urus-tadbir yang efektif.

"Satu pengurusan dan pembangunan pertanian yang mampan dan inklusif perlu dirancangkan untuk pekebun-pekebun di Cameron Highlands, termasuk perlu adanya rancangan penyusunan semula dan pemberian tanah pertanian, pengurusan bekalan air pengairan yang mampan untuk pertanian, sistem pertanian secara sistematik, kemudahan asas dan insentif untuk pekerja pertanian, pengambilan pekerja asing, amalan baik pertanian, pensijilan kualiti pertanian dan urus-tadbir guna tanah yang efektif.

"Memandangkan Cameron Highlands merupakan penyumbang besar kepada ekonomi negara dari segi pertanian, saya cadangkan perlunya seorang pakar yang amat memahami keadaan pertanian di Cameron Highlands dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara yang akan ditubuhkan.

"Saya berharap agar YB boleh menimbang dan memberi perhatian sewajarnya kepada permasalahan pertanian di Cameron Highlands," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS