Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin tolak rayuan Jamal minta dilindungi
Diterbitkan:  May 31, 2018 11:10 PM
Dikemaskini: 3:32 PM

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak rayuan "melindungi" Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang hilang selepas berjanji untuk menyerah diri kepada polis semalam.

"Apa nak lindung apa? Dia tahu dia buat salah lepas tu dia lari," Muhyiddin memberitahu pemberita selepas hadir majlis berbuka puasa Jabatan Penjara di masjid Penjara Kajang malam ini.

Muhyiddin berkata beliau juga meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun mengesan Jamal yang dilaporkan disiasat untuk sembilan kes, termasuk tiga daripadanya yang telah dibuat pertuduhan pada Jumaat lalu di Hospital Ampang Puteri.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor
Fadzil Ahmat mengesahkan polis sedang dalam proses meletakkan Jamal dalam larangan perjalanan imigresen susulan desas-desus dia melarikan diri ke Indonesia.

"Saya sedang minta KPN untuk memburu beliau.

"Dengar kata dia di Indonesia dan kita minta kerjasama polis di sana untuk cari beliau bawa ke sini.

"Apa pun kesalahan saya serah pada pihak berkuasa untuk ambil tindakan sesuai dengan undang-undang yang ada," kata Muhyiddin lagi.

Selepas gagal hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semalam, Jamal mengeluarkan video yang dirakam di ladang kelapa sawit dan menyatakan kebimbangannya akan ditangkap.

Dalam klip tujuh minit, Jamal berkata kerajaan hari ini sedang memangsakan dirinya disamping mengisytiharkan dia bukan seorang penjenayah atau pengganas, walaupun mendakwa menerima layanan sedemikian.

Pemimpin 'gerakan baju merah ' itu juga membuat pengakuan peribadi kepada Muhyiddin meminta jaminan supaya beliau tidak akan menjadi mangsa.

"Saya minta Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi saya jaminan sebagai seorang ahli politik, sebagai seorang aktivis, saya tidak akan diperlakukan dengan buruk atau menjadi mangsa,"

“Saya mohon Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan jaminan kepada saya seorang pemimpin politik, pemimpin aktivis supaya tidak dizalimi, tidak dianiaya.

“Saya bukannya penjenayah tetapi saya diperlakukan seperti penjenayah dan pengganas sekarang ini,” kata Jamal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS