Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada kesan petrol pada sisa kebakaran, simen, dinding pusat tahfiz
Diterbitkan:  May 31, 2018 4:28 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Seorang pegawai sains memberitahu Mahkamah Tinggi, yang membicarakan kes dua remaja lelaki didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah bahawa terdapat kesan cecair petrol pada bahan bukti yang diambil dari pusat tahfiz yang terbakar itu pada September tahun lepas.

Yusnita Osman, 38, yang bertugas di Makmal Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, berkata kesan cecair petrol itu ditemui pada sisa kebakaran dan simen dinding pusat tahfiz tersebut yang diperiksanya selepas sampel bahan bukti itu diterima pada 14 Sept 2017 daripada seorang penguasa kanan bomba.

“Saya telah memeriksa semua kotak yang bertanda dan mendapati di dalamnya masing-masing terdapat satu beg nilon yang diikat dengan ‘cable tie’. Di dalam beg nilon tersebut masing-masing berisi sisa kebakaran, simen dinding, bahan di dalam dinding dan sisa kayu almari,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada hari kedua perbicaraan kes itu hari ini.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata beliau telah menjalankan ujian pengesahan menggunakan ‘Gas Chromatography-Mass Spectrometer’ dan ujian penentuan bahan menggunakan ‘Fourier Transform Infra-Red’ terhadap sampel-sampel tersebut dan telah mengesan cecair mudah menyala jenis petrol.

Katanya beliau diberikan tujuh sampel iaitu tiga sampel sisa kebakaran, dua sampel simen dinding dan masing-masing satu sampel bahan di dalam dinding dan sisa kayu almari namun, hanya empat daripada sampel itu disahkan mengandungi cecair petrol.

Saksi itu berkata satu bahan ‘polivinylchloride’ (PVC) turut dikesan pada satu sampel manakala dua lagi sampel tidak mempunyai sebarang kesan cecair mudah menyala.

Saksi pendakwaan keempat, Penguasa Kanan Bomba Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ashari Johari, 37, pula berkata beliau telah menemukan dua tong gas di hadapan pintu asrama tingkat dua pusat tahfiz itu ketika menjalankan siasatan pada hari kejadian.

“Dua tong gas berada di hadapan pintu masuk bilik asrama, satu tong dalam keadaan berdiri dan satu terbaring, “ katanya yang turut bertanggungjawab mengambil tujuh sampel bahan bukti di pusat tahfiz itu.

Terdahulu, kedua-dua tong gas itu, yang dibungkus dengan plastik hitam dan diikat dengan ‘cabel tie’, dibawa masuk ke kamar perbicaraan untuk tujuan pengecaman.

Prosiding hari ini turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar.

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sept 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Seksyen 94 akta sama yang mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 pagi 14 Sept 2017, seramai 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz itu yang terbakar.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 2 Julai ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS