Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin mempertahankan penubuhan Tabung Harapan Malaysia oleh kerajaan bagi membantu ekonomi negara.
Katanya, tindakan itu tidak pelik, apatah lagi apabila ia bersifat sukarela.
“Tidaklah pelik jika ada yang cuba tolong pihak Kerajaan bayar hutang.
“Ia satu usaha yang bersifat sukarela. Siapa mahu boleh berikan, siapa tidak mahu boleh biarkan.
Namun, yang pelik lagi melampau ialah pihak yang membuat hutang yang ditanggung oleh sekelian rakyat secara paksa tanpa rela,” katanya yang juga sering dirujuk sebagai Dr Maza.
Selepas pengumuman perdana menteri semalam, terdapat warga maya yang mempertikaikan langkah itu, termasuk pemimpin BN.
Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang antaranya berkata ia sukar dipercayai kerana dibuat ketika kerajaan memperuntukkan RM40 juta untuk membeli hak penyiaran Piala Dunia 2018 di RTM.
Sementara itu, menulis di Facebook hari ini, Asri membandingkan perkara itu dengan pihak yang mengambil hutang untuk “bermewah-mewahan”.
“Lebih kejam lagi apabila pihak yang mengambil hutang itu bermewahan, sementara rakyat yang menanggung hutang hidup dalam bebanan.
“Apa yang ganjil lagi ajaib apabila ada kelompok yang pernah menyatakan mereka berpuas hati dengan isu penyalahgunaan harta awam tersebut,” tulis agamawan yang sering lantang mengulas isu-isu politik negara itu.
Selepas mengambil alih pentadbiran negara, kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan hutang negara kini lebih RM1 trilion.