Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isteri Amri Che Mat mahu polis pemberi maklumat diberi perlindungan

INKUIRI SUHAKAM | Isteri Amri Che Mat - aktivis yang hilang dua tahun lalu - memohon kerajaan agar memberi perlindungan kepada anggota Pasukan Khas (SB) yang didakwa memberitahunya pasukan itu terlibat dalam kehilangan suaminya.

Dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini, Norhayati Mohd Ariffin pada mulanya tidak terlalu memikirkan keselamatan anggota itu yang bernama Shamzaini Mohd Daud, dan memutuskan untuk mendedahkan apa yang diberitahu Shamzaini yang didakwa ke rumahnya di Kangar pada 12 Mei lalu.

Namun, katanya, dia kemudian sedar tindakan itu akan mendatangkan bahaya kepada Shamzaini dan berharap anggota polis itu diberi perlindungan agar tidak menerima sebarang tekanan.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Norhayati berkata perlindungan itu perlu agar Shamzaini tidak ditekan untuk mengubah kenyataannya.

"Saya sangat berharap pihak berkuasa akan memberi perlindungan kepadanya...Apabila dia berani bercakap sudah tentu dia akan diberi tekanan apabila semua tahu (rahsianya). Mungkin dia tak akan bercakap dengan betul lagi (ekoran ditekan).

"Jadi saya sangat berharap dia akan dilindungi agar dia dapat bercakap perkara yang betul," katanya.

Beliau juga berkata telah menyampaikan permintaan itu kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui seorang pembantunya.

Dalam satu kenyataan pada 16 Mei lalu, Norhayati mendakwa dia dikunjungi Shamzaini yang mendedahkan perkara itu, selain mendakwa pasukan sama juga menculik paderi Raymond Koh Februari tahun lalu.

Dia juga berkata telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam. Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, SAC Datuk Asmawati Ahmad mengesahkan laporan polis itu dan berkata siasatan sedang dijalankan.

Shamzaini nampak cemas

Dalam keterangannya kepada panel, Nurhayati juga berharap anggota polis yang disebut Shamzaini akan dipanggil Suhakam.

Dia mendakwa Shamzaini kelihatan cemas ketika pertemuan mereka dan menunduk ketika sebuah kereta peronda polis melintasi rumahnya, selain meminta pertemuan itu tidak dirakam.

Katanya, Shamzaini memberitahu mereka tidak akan berjumpa lagi dan akan memberikan nombor telefon untuk terus berhubung. Namun sehingga kini tiada nombor diberikan.

Dia berkata Shamzaini juga bertegas memintanya bercakap dengan peguam dan memastikan orang atasnya, ASP Razman Ramli daripada SB Perlis ditanya berhubung dakwaannya itu apabila Razman memberi keterangan kepada Suhakam pada 17 Mei.

Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai kemudian berkata Razman tidak hadir pada tarikh tersebut kerana perlu menduduki peperiksaan.

Norhayati sebelum ini berkata dia diberitahu bahawa Razman adalah anggota SB Perlis yang mengetuai pasukan yang memerhati pergerakan suaminya susulan dakwaan Amri terlibat dalam ajaran Shiah dan kegiatan tukaran wang asing.

Katanya, Shamzaini memberitahu maklumat yang dikumpul Razman kemudian dihantar ke SB Bukit Aman, dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Datuk Awaludin Jadid, "ketua polis Perlis", dan Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Khalid Abu Bakar tahu tentang perkara itu.

Tidak pasti sama ada Norhayati merujuk kepada Datuk Ab Rashid Ab Wahab, ketua polis Perlis ketika kehilangannya pada 24 November 2016, atau salah seorang daripada dua pegawai yang menggantikan Ab Rashid selepas itu.

Norhayati berkata Shamzaini mendakwa SB Perlis sepatutnya menahan Amri dan membawanya kepada bahagian kewangan dan agama atas dakwaan jenayahnya.

Namun, katanya lagi, SB Bukit Aman mengambil alih operasi itu tanpa pengetahuan polis Perlis.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS