Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pembatalan projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3).
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Dr Mahathir mengumumkan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur.
"Kabinet bersetuju untuk membatalkan HSR dan akan dibincangkan dengan pihak Singapura kerana pembatalan ini akan melibatkan kesan kewangan yang ketara.
"MRT3 juga tidak akan diteruskan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.
Kos MRT3 sebelum ini dianggarkan antara RM40 bilion sehingga RM50 bilion.
Projek berkenaan bertujuan menyambung laluan antara MRT1 dari Sungai Buloh ke Kajang dan MRT2 yang beroperasi dari Sungai Buloh ke Putrajaya.
MRT3 sebelum ini dijangka akan menggunakan model pendanaan berbeza berbanding MRT1 dan MRT2 yang memerlukan kontraktor mencari sendiri kos pembinaan.
Ini membuka ruang kepada syarikat China termasuk China Communications Construction Company (CCCC) terlibat dalam projek berkenaan.
Syarikat China Railway Group Ltd (CREC) dikatakan turut bersaing untuk projek HSR yang didakwa menelan kos sehingga RM110 bilion.
Dr Mahathir menjelaskan bahawa projek-projek berkenaan dibatalkan bagi mengawal tahap hutang negara.
"Kita bukan hanya meneliti HSR tapi juga projek mega lain yang menelan berbilion ringgit.
"Jika negara ini tidak mahu bangkrap, kita perlu belajar menguruskan hutang besar kita dan salah satu caranya adalah membatalkan projek yang tidak memanfaatkan negara," tambah Dr Mahathir.