Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mempunyai perancangan untuk menjalinkan hubungan dengan presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang digambarkannya sebagai "orang yang mengubah fikiran dalam masa satu malam".
"Saya tak tahu bagaimana untuk bekerjasama dengan seseorang yang mengubah fikirannya dalam satu malam.
"Contohnya, dia mahu jumpa dengan presiden Korea Utara, kemudian dia kata dia tak mahu bertemu dengannya dan sekarang dia kata mungkin pertemuan itu akan berlaku," kata Mahathir dipetik oleh Financial Times hari ini .
Mahathir merujuk pertemuan Trump dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un yang pada asalnya dijadualkan pada bulan depan di Singapura.
Pertemuan itu akan menjadi pertemuan pertama antara presiden Amerika Syarikat itu dan pemimpin Korea Utara.
Khamis lepas, Trump tiba-tiba membatalkan sidang damai bersejarah dengan Kim, dengan memetik "permusuhan terbuka" dengan Korea Utara walaupun negara itu baru-baru ini memusnahkan tapak ujian nuklearnya sebagai janji menghentikan ujian nuklear baru.
Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, Trump menyatakan pertemuan itu mungkin berlaku selepas pernyataan pendamaian dari Pyongyang.
Sebelum ini bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memiliki hubungan rapat dengan Trump.
Bahkan Najib berkesempatan melawat Trump di Rumah Putih pada September tahun lepas dan bermain golf dengannya.