Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Arahan sekat Husam, Wan Rahim dari istana, kata SUK

Kerajaan negeri mengesahkan kebenaran pekeliling yang dikeluarkan pada 27 Mei 2018 lalu berhubung larangan memasuki pejabat kerajaan dan istana kepada Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Husam Musa dan Pengerusi AMANAH negeri, Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Perkara itu disahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad kepada media, di Kota Bharu, hari ini.

"Saya sahkan memang surat itu dikeluarkan pada 27 Mei 2018, selepas mendapat arahan pihak istana.

"Sebabnya saya tidak tahu. Pihak istana tidak nyatakan sebab dan saya hanya bertindak ikut arahan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, surat yang ditandatangi Nazran itu viral di media sosial sejak semalam sekali gus menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Bagaimanapun, setakat ini sama ada Husam atau Wan Abd Rahim masing-masing mendiamkan diri berhubung perkara itu.

Kandungan surat itu menyatakan Husam dan Wan Abd Rahim dilarang memasuki Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri, Kota Darulnaim dan semua pejabat kerajaan negeri.

Selain itu, kedua-dua mereka turut dilarang berada di enam istana iaitu Istana Negeri, Istana Balai Besar, Istana Telipot, Istana Kota Lama, Istana Tumpat dan Istana Persinggahan Gua Musang.

Sementara itu, Nazran menjelaskan sekatan terhadap dua tokoh politik Kelantan tersebut merupakan senarai tambahan daripada jumlah sebenar individu yang disekat.

"Setakat ini memang dua orang ini sahajalah senarai tambahan yang tidak dibenarkan masuk.

"Sebenarnya dah ramai kena larangan ni. Saya tak ingat jumlah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS