Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali mencadangkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berunding terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan sekiranya mahu melaksanakan sesuatu perubahan.
Menurutnya kerajaan perlu mengetahui masalah di pelbagai peringkat bagi mengelakkan sesuatu keputusan ditarik balik seperti yang kerap dilakukan kerajaan terdahulu.
"Saya nak cadangkan kerajaan Pakatan Harapan supaya kurangkan bercakap dan lebihkan bekerja. Dan tolong berunding dulu dengan stakeholder sebelum buat sebarang pengumuman.
"Dapatkan pendapat terlebih dahulu sebelum buat keputusan. Kita tak nak jadi seperti sebelum ini yang kita sedia maklum dulu di bawah BN banyak keputusan dibuat lepas tu patah balik.
"Sebab apa? Sebab mereka tak berunding dengan stakeholder dulu sama ada boleh atau tidak (sesuatu keputusan tersebut)," katanya kepada Malaysiakini.
Dua minggu selepas memenangi pilihan raya umum ke-14, kerajaan HARAPAN membuat pelbagai pengumuman antaranya membubarkan lima agensi dan jawatankuasa kerajaan seperti Majlis Profesor Negara (MPN) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).
Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin pula merancang mengurangkan pekerja asing dan pendatang tanpa izin di negara ini serta mengkaji semula beberapa akta di bawah KDN.
Perkara sama turut diumumkan Menteri Sumber Manusia yang baru, M Kulasegaran yang akan menyemak semula keputusan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh dalam tempoh tiga tahun yang dibuat pada 2016.
Keputusan itu dibuat selari dengan dasar kerajaan HARAPAN yang mahu mengurangkan kebergantungan pekerja asing.
Menurut Ameer, kerajaan perlu meneliti apakah sebab dan punca sesetengah sektor menggunakan pekerja asing.
Beliau memberikan contoh tiada rakyat Malaysia yang sanggup bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji di bawah RM3,000.
"Kita semua setuju nak kurangkan pekerja asing tetapi di Malaysia ini, siapa yang mahu lakukan kerja yang dilakukan pekerja asing? Mereka (kerajaan) kata kita tidak usaha dan tak bayar lebih.
"Tetapi siapa yang akan bayar jumlah itu untuk pembantu rumah? Mereka (kerajaan) bukan peniaga mungkin senang untuk cakap. Mereka tak tahu apa yang berlaku dekat bawah. Malah, semasa BN dulu, proses untuk dapatkan pekerja asing yang sah pun susah. Kena bayar sini, sana.
"Jadi, kerajaan perlu bersihkan proses itu dulu, sebelum bersihkan tanya dulu stakeholder apa masalah kita. Lepas tahu masalah barulah buat keputusan," katanya lagi.