Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP gesa lembaga pengarah Perak Corporation Berhad letak jawatan
Diterbitkan:  May 26, 2018 3:01 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

DAP Perak menggesa semua anggota Lembaga Pengarah Perak Corporation Berhad (PCB) meletak jawatan dengan segera berikutan dakwaaan tahap pengurusan yang lemah selain syarikat milik kerajaan negeri itu mengalami kerugian yang besar.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata PCB yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) boleh mengalami kebankrapan antaranya disebabkan daripada peningkatan hutang bagi pembinaan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru Raya.

"Pelantikan mereka (anggota lembaga pengarah) adalah pelantikan politik... mereka tidak berupaya untuk menguruskan syarikat milik kerajaan Perak ini (PCB). Mereka perlu letak jawatan dengan segera dan saya meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap syarikat itu.

"Saya tidak ingin buat sebarang tuduhan, tapi saya rasa adalah tanggungjawab SPRM menjalankan siasatan supaya mereka yang terlibat dalam salah laku penyelewengan harus ke muka pengadilan," katanya dalam satu sidang media di Ipoh hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan akhbar pernigaan The Edge Markets pada 23 Mei lalu yang menyebut “PCB menanggung kerugian bersih RM340.6 juta dalam tahun kewangan 2017 dan setakat akhir 2017, liabiliti semasa melampaui aset semasa sebanyak RM158.5 juta”.

Dalam maklumat kepada Bursa pada 23 Mei, kumpulan itu berkata juruaudit telah menonjolkan kemerosotan nilai yang mengakibatkan kerugian RM167.2 juta.

Mengulas lanjut, Nga berkata setakat ini jumlah pinjaman bagi pembinaan MAPS adalah sebanyak RM280 juta dan Pakatan Harapan telah beberapa kali membincangkan perkara itu yang mana kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya membina taman tema tersebut sebaliknya memberi fokus kepada rakyat.

Nga berkata pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu untuk tindakan lanjut kerana ia merupakan masalah besar yang perlu diselesaikan.

"Sama ada MAPS akan ditutup atau tidak, saya juga akan serahkan kepada kebijaksanaan menteri besar Perak kerana kerajaan negeri terpaksa mencari jalan yang terbaik supaya kita tidak terus menanggung kerugian," katanya.

Nga yang juga Anggota ParlimenTeluk Intan turut mengumumkan pemberian sumbangan sebanyak RM16,000 kepada kerajaan Malaysia sebagai bantuan untuk menyelesaikan hutang negara yang kini sudah mencecah RM1 trilion.

Selain Nga, Anggota Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh serta Anggota Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar masing-masing memberi sumbangan RM8,000 manakala ADUN Kepayang Dr Ko Chung Sen menyumbang RM10,000.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS