Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemelut BN Perlis, cadangan pecat Azlan tidak wajar - Hisham
Diterbitkan:  May 26, 2018 5:04 AM
Dikemaskini: 9:28 PM

Kemelut di Perlis melibatkan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar dan usaha pemecatan beliau selaku anggota Umno adalah tidak wajar, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata keputusan pelantikan Azlan sebagai menteri besar haruslah dihormati kerana semestinya Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah mengambil pertimbangan yang sebaiknya untuk rakyat di negeri itu.

"Perkara seperti ini tidak boleh berlaku. Setiap daripada pemimpin Umno harus berjiwa besar dan menampilkan kepimpinan yang terbaik.

"Dalam keadaan Umno yang masih dalam proses pemulihan, rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan kita. Rakyat telah berikan mandat kepada BN untuk memimpin di Perlis dan kepercayaan ini harus dilaksanakan dengan penuh amanah," katanya dalam catatan di laman sosial Instagram beliau malam tadi.

Mengenai pemecatan anggota Umno, Hishammuddin yang menjalankan tugas timbalan presiden parti itu, ​​​​​berkata sebarang keputusan untuk memecat anggota parti perlu dibawa kepada Lembaga Disiplin dan merupakan kuasa Majlis Tertinggi Umno, dan bukannya pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Pada majlis pelantikan dan angkat sumpah Azlan sebagai menteri besar di Istana Arau semalam, sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN tidak hadir pada upacara itu. Hanya tiga wakil rakyat Pakatan Harapan dan dua wakil rakyat PAS yang hadir.

Pada hari sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan sembilan ADUN BN dalam satu sidang media, mencadangkan agar pucuk pimpinan Umno memecat Azlan sebagai anggota Umno dengan serta merta.

BN memenangi 10 daripada 15 kerusi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lepas, sekali gus Shahidan mendakwa BN Perlis sebulat suara memilih ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim sebagai menteri besar Perlis yang baharu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS