Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lapan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Perlis hari ini membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Azlan Man kerana memperkenalkan dirinya sebagai menteri besar negeri itu.

Menurut salinan laporan polis yang diterima Malaysiakini, lapan ADUN itu tidak bersetuju dengan pelantikan dan tiada keyakinan terhadap pelantikan Azlan selaku menteri besar.

“Di samping itu saya juga menyatakan bahawa apa-apa pelantikan ahli-ahli eksekutif (exco) yang dicadangkan oleh Datuk Seri Azlan Man tidak mempunyai keyakinan.

“Saya juga turut menyatakan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar Perlis adalah sesuatu tindakan yang tidak mematuhi perlembagaan Persekutuan dan juga perlembagaan negeri Perlis, ini kerana menteri besar mesti mempunyai keyakinan dan sokongan daripada majoriti ADUN,” petik laporan itu.

Laporan itu turut menyebut sembilan daripada 15 ADUN tidak menyokong pelantikan Azlan bagaimanapun menyokong keputusan majoriti sesiapa sahaja dikalangan mereka yang dilantik menjadi menteri besar.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Eusoff, Kuala Lumpur, petang tadi.

Kelapan-lapan mereka turut diwakili dua peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff dan Gavin Jayapal

Semalam, kesemua ADUN BN Perlis memulaukan istiadat angkat sumpah Menteri Besar Azlan Man kerana mahukan Datuk Ismail Kassim, adik pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan dilantik ke jawatan itu.

Raja Perlis murka

Tindakan itu menyebabkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka.

Baginda menegaskan tidak mahu seorang menteri besar boneka. Ismail menafikan perkara itu dan mencadangkan nama lain selain beliau dan Azlan.

Shahidan mendakwa kesemua sembilan ADUN BN tidak menyokong Azlan, sekali gus bermakna mereka memperoleh majoriti penentu dalam dewan negeri.

Termasuk Azlan, BN mempunyai sepuluh kerusi manakala lima lagi milik pembangkang.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS