Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tuntut polis pulangkan wang rampasan
Diterbitkan:  May 24, 2018 7:04 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Umno kesal dengan tindakan polis merampas wang yang didakwa dana politik mereka untuk pilihan raya dan pengurusan parti.

Menurut Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat Umno, wang sumbangan itu dirampas semasa proses dipindahkan kepada kepimpinan baru parti itu.

“Secara umumnya, presiden Umno bertanggungjawab untuk mendapatkan sumber dan menguruskan dana untuk Umno termasuk dana bagi pilihan raya umum. Hal ini termaktub di dalam perlembagaan parti.

“Dana sumbangan kepada parti politik ini diterima oleh semua parti-parti politik di negara ini dan hal ini tidak ada bezanya dengan Umno yang mantan presiden kita iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendapatkan sumbangan dana untuk kempen sebelum PRU ke-14 dan juga dana untuk menguruskan parti.

“Untuk makluman, semasa mantan presiden Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai presiden kita, beliau juga telah menyerahkan RM 1.2 bilion kepada parti dan tiga juta ahli,” menurut kenyataan unit itu.

Jumaat lepas, polis merampas wang tunai dan barangan bernilai di enam lokasi yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB.

Laporan menyebut nilainya kira-kira RM120 juta.

Dalam laporan polis, Najib dilaporkan mendakwa wang tunai yang dirampas dari Pavilion Residences, Kuala Lumpur itu adalah derma rakan-rakan untuk kempen pilihan raya BN.

Sementara itu, Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat Umno juga berkata pembiayaan politik dibenarkan bawah undang-undang negara.

“Oleh itu, Umno berusaha untuk memulihkan dana ini dan memohon kepada pihak polis untuk melepaskan dana tersebut dan mengembalikannya kepada parti setelah selesai proses siasatan oleh pihak berkuasa yang terbabit.

“Umno kini sedang dalam proses membina semula parti dan pulangan dana parti ini akan membantu parti untuk mengukuhkan proses pembinaan semula parti yang sedang dijalankan hari ini,” kata unit itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS