Tindakan Sembilan Anggota Dewan Undangan (ADUN) BN Perlis yang tidak hadir ke istiadat mengangkat sumpah pelantikan menteri besar dilihat derhaka kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Pengerusi PKR Perlis Mohammad Fisol Abdul Rahman yang mengkritik tindakan itu berkata, kesemua mereka wajar menerima calon yang dipilih oleh tuanku.
“Sembilan ADUN BN seolah tidak menghormati istana pada hari ini. Jelas memperlihatkan sikap derhaka pada Tuanku Raja Perlis.
“Keadaan ini akan menyebabkan rasa tidak selesa khususnya kakitangan pentadbiran negeri Perlis dan amnya seluruh rakyat Perlis tentang ke mana hala tuju masa depan negeri Perlis ini.
“Adalah di sarankan semua ADUN tersebut kembali mengadap memohon ampun kepada Tuanku Raja Perlis di atas tindakan tidak bertanggungjawab ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Hari ini, Datuk Seri Azlan Man hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis di Balai Menghadap, Istana Arau bagi penggal kedua.
Ini sekali gus menamatkan penantian 14 hari selepas selesai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bagaimanapun, timbul persoalan apabila semua sembilan ADUN BN tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah itu. Menurut portal Berita Harian Online, mereka difahamkan berada di Kuala Lumpur.
Difahamkan juga Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim akan membuat sidang media bersama sembilan ADUN itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Mohammad Fisol (atas) turut berkata ini adalah tindakan kali kedua ADUN BN tidak menghormati istana kerana pernah menentang pelantikan Datuk Seri Mohamad Isa Sabu sebagai menteri besar Perlis.
Pada PRU14, BN Perlis menang 10 kerusi daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.
Baki lima lagi kerusi dimenangi oleh PKR dan PAS – kemenangan terbanyak pembangkang sejak 60 tahun pentadbiran BN.
Kegagalan membentuk kerajaan itu dikaitkan dengan krisis dalaman, bermula dengan tindakan pengerusi BN negeri Datuk Seri Shahidan Kassim menamakan adiknya Datuk Ismail Kassim sebagai menteri besar baru.
Bagaimanapun, Azlan Man yang juga penyandang jawatan menteri besar Perlis dilaporkan tidak tahu menahu berkaitan perkara itu dan tidak dimaklumkan mengenainya.
Tak patut berlaku, kata wakil PAS
Sementara itu ADUN PAS Sanglang, Ahmad Shukri Ramli yang juga kesal dengan perkara itu meminta Sembilan ADUN menerima pelantikan Azlan dan pulang memulakan kerja mereka.
“Tindakan ini tak sepatutnya berlaku, sepatutnya kita terima sahaja pilihan tuanku untuk jawatan menteri besar ini kemudian kita kerja untuk rakyat.
“Saranan saya mereka balik bekerja dalam kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat ini dan mempersetujui yang dipilih oleh tuanku raja,”katanya.
Katanya, rakyat kini resah menunggu pembentukan kerajaan negeri walaupun PRU14 sudah berakhir dua minggu lalu.
“Rakyat resah tunggu sampai dah dekat dua minggu tak boleh tubuh kerajaan negeri, politik Perlis tak menentu,” katanya.