Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan HARAPAN iktiraf kepentingan FDI - Jomo
Diterbitkan:  May 24, 2018 12:35 PM
Dikemaskini: 4:39 AM

Kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf kepentingan pelaburan langsung asing (FDI) dan pindahan teknologi dari luar negara, kata pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram.

Beliau berkata Malaysia menghargai pelaburan yang memberi sumbangan kepada kemajuan negara, seperti telekomunikasi 5G, aplikasi kecerdasan buatan, teknologi kewangan, tenaga boleh diperbaharui, ubatan baharu dan kenderaan elektrik.

“Kerajaan baharu jelas menyokong pelaburan perindustrian yang produktif, terutamanya dengan komitmen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mempercepatkan kemajuan teknologi Malaysia,” katanya dalam sepucuk surat kepada Financial Times.

Jomo, yang juga salah seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan berkata selepas kemerdekaan negara pada 1957, kerajaan Malaysia sentiasa mempelawa FDI masuk ke negara ini .

“Membawa perbahasan politik negara tentang pelaburan dari China berisiko mengelirukan banyak pihak.

“Sebagai contoh, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM67 billion (US$17 bilion) tidak berdaya maju dari segi ekonomi dan kos yang melangkaui bajet bagi projek besar seumpama itu adalah satu norma antarabangsa,” katanya.

Jomo berkata projek ECRL bukan pelaburan dari China, tetapi merupakan pinjaman yang amat besar dari bank eksport-import China bagi 85 peratus daripada kos yang diunjurkan bagi terma-terma keutamaan, sambil menambah ramai rakyat juga membantah projek tersebut dan juga liabiliti hutang berkaitannya.

“Projek tersebut diberikan oleh kerajaan sebelum ini kepada sebuah syarikat China tanpa sebarang persaingan, apatah lagi proses yang telus, dengan pelbagai keistimewaan khusus termasuk pengecualian cukai.

“Pada 9 Mei, rakyat Malaysia telah menunjukkan dengan jelas pendirian mereka menolak FDI tidak bertanggungjawab dan hutang yang meragukan yang boleh membebankan dan meruntuhkan ekonomi, namun tentangan terhadap projek tersebut bukan bermakna bantahan keseluruhan terhadap pelaburan dari China,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS