Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan MB Perlis dimuktamadkan di Istana Arau, esok
Diterbitkan:  May 23, 2018 12:36 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Majlis istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan menteri besar Perlis bagi penggal yang baharu akan berlangsung di Istana Arau, esok.

Perkara itu dinyatakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis menerusi satu surat jemputan kepada pihak media pada hari ini.

Portal Utusan Malaysia melaporkan ini selepas naib presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyembah menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, semalam.

Ia dipercayai untuk menyelesaikan isu pelantikan Menteri Besar di Istana Arau. Turut mengiringi Ahmad Zahid ialah naib presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Portal itu berkata, Ahmad Zahid yang ditemui wartawan di luar istana, enggan mengulas hasil pertemuan tersebut sebaliknya hanya melambai-lambaikan tangan dan mengucapkan terima kasih.

Kemelut pelantikan menteri besar, seakan-akan menyamai situasi serupa pada 2008 yang mengambil masa selama dua minggu sebelum kerusi nombor satu negeri itu dimuktamadkan.

Sehingga hari ini, Perlis menjadi satu-satunya negeri yang masih belum membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

BN Perlis menang 10 kerusi daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.

Baki lima lagi kerusi dimenangi oleh PKR dan PAS - kemenangan terbanyak pembangkang sejak 60 tahun pentadbiran BN.

Kegagalan membentuk kerajaan itu dikaitkan dengan krisis dalaman, bermula dengan tindakan pengerusi BN negeri Datuk Seri Shahidan Kassim menamakan adiknya Datuk Ismail Kassim sebagai menteri besar baru.

Bagaimanapun, penyandang menteri besar Datuk Seri Azlan Man dilaporkan tidak tahu menahu berkaitan perkara itu dan tidak dimaklumkan mengenainya.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah pun memanggil 10 wakil rakyat BN menghadap baginda di Istana Arau pada Isnin minggu lepas bagaimanapun belum jelas kandungan perbincangan dalam pertemuan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS