Pemangku Pengerusi Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga jawatan tertinggi Umno iaitu presiden, timbalan presiden dan naib presiden akan dipertandingkan dalam pemilihan kali ini.
Zahid berkata sekarang tidak timbul lagi persoalan tiada pertandingan jawatan tertentu seperti didakwa sebelum ini dan pihaknya berlapang dada memastikan transformasi dapat dilakukan.
“Tidak timbul soal tidak ada pertandingan bagi jawatan-jawatan tertentu dalam Umno. malah (Datuk Seri) Hishammuddin (Hussein) dan saya berlapang dada serta terbuka mahu jawatan ini ditandingi sesiapa sahaja yang berkelayakan mengikut peraturan yang ditentukan.
“Kita mengambil langkah-langkah ke hadapan untuk mengorak dan menggamit sokongan yang ada. Kesilapan-kesilapan itu akan dibaiki.
“Kita minta pimpinan Umno di akar umbi dan nasional merapatkan saf kesinambungan perjuangan Umno dan kita yakin dari beberapa pengalaman negara-negara yang alami situasi sama dengan Umno dan BN, akan bangkit semula,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno di PWTC, hari ini.
Zahid sebelum ini mengumumkan kepada mana-mana ahli Umno yang berhasrat bertanding jawatan berkenaan boleh melakukan pendaftaran atas talian bermula 1 Jun hingga 17 Jun, ini.
Sabtu lalu Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin tidak bersetuju jika jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Beliau berkata budaya itu perlu dihentikan kerana ia dilihat antara penyebab masyarakat hilang kepercayaan terhadap Umno, selain punca kekalahan pada pilihan raya umum lepas.
Sementara itu, Zahid mengucapkan tahniah kepada kabinet baru yang memulakan tugas mereka hari ini.
“Kami di dalam Umno, tentunya akan memerhatikan setiap langkah dan tindakan-tindakan kerajaan baru ini dan tentunya kami sebagai pembangkang akan membangkang secara konstruksi dan melihat pelaksanaan dan pelunasan semua janji-janji yang termaktub dalam manifesto PRU yang telah dikemukakan oleh mereka.
“Kami bagi pihak pembangkang dan Umno, BN keseluruhannya merasakan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab tentunya harap Pakatan Harapan tunaikan janji mereka di dalam manifesto 100 hari dilaksanakan,” katanya.