Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hampir 2 minggu, k'jaan Perlis masih belum dibentuk

Hampir dua minggu pilihan raya umum selesai, BN Perlis masih belum membentuk kerajaan di negeri itu.

Kesemua negeri, telah pun menyelesaikan pelantikan menteri besar dan exco masing-masing, tetapi di Perlis – satu daripada tiga negeri yang masih dipegang BN – masih belum jelas.

'Kebuntuan' itu tetap berlaku walaupun keputusan pilihan raya umum 9 Mei lalu menyaksikan BN Perlis masih menguasai dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

BN Perlis menang 10 kerusi daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.

Baki lima lagi kerusi dimenangi oleh PKR dan PAS – kemenangan terbanyak pembangkang sejak 60 tahun pentadbiran BN.

Kegagalan membentuk kerajaan itu dikaitkan dengan krisis dalaman, bermula dengan tindakan pengerusi BN negeri Datuk Seri Shahidan Kassim menamakan adiknya Datuk Ismail Kassim sebagai menteri besar baru.

Bagaimanapun, penyandang menteri besar Datuk Seri Azlan Man dilaporkan tidak tahu menahu berkaitan perkara itu dan tidak dimaklumkan mengenainya.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah pun memanggil 10 wakil rakyat BN menghadap baginda di Istana Arau pada Isnin minggu lepas bagaimanapun belum jelas kandungan perbincangan dalam pertemuan itu.

Kedua-dua Shahidan dan Azlan kini mengambil sikap berdiam diri.

Bagaimanapun, terdapat spekulasi kencang terdapat usaha melobi sokongan, termasuk daripada pembangkang, telah berlangsung.

Malaysiakini telah pun menghubungi Shahidan dan Azlan sejak minggu lepas dan masih menunggu jawapan mereka.

Sementara itu, pembangkang negeri berharap isu itu dapat diselesaikan secepat mungkin demi kebaikan rakyat terbanyak negeri itu.

Pembangkang cenderung Azlan, ADUN Santan

Pengerusi PKR Perlis, Mohammad Fisol Abdul Rahman berkata BN Perlis harus mengemukakan nama menteri besarnya segera kepada istana.

“Kita harap proses ni berlaku dengan cepat, kabinet pusat dah mula angkat sumpah, negeri-negeri lain dah mula angkat sumpah. Kita harap negeri Perlis berjalan dengan sekadar segera.

“Kita lihat apa yang berlaku di Perlis, barisan Adun yang ada di Perlis, nampak tak layak pegang tampuk pemerintahan di Perlis sehingga membuatkan tuanku sukar nak kenal pasti calon mana yang layak.

“Kita lihat dia (Shahidan) cadangkan adik dia, menyebabkan rasa kurang senang pihak istana yang menyebabkan penangguhan pelantikan menteri besar,”katanya kepada Malaysiakini.

Mohamad Fisol secara peribadi melihat Azlan lebih layak berbanding Ismail.

Bagaimanapun, katanya, terdapat pihak lain dalam BN yang boleh dipertimbangkan sebagai menteri besar, seperti ADUN Santan, Azizan Sulaiman.

Untuk rekod, krisis pelantikan menteri besar yang mengambil masa lama bukan perkara baru di Perlis kerana pada PRU12 ia mengambil masa sehingga dua minggu.

Ketika itu, Shahidan diganti oleh Datuk Seri Isa Sabu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS