Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Pendekatan sesetengah pihak sebelum ini yang telalu fokus kepada dosa peribadi dan memandang ringan dosa awam telah menyebabkan Islam yang sebenar disalahfahami.

Pendekatan seperti ini yang menyebabkan sesetengah kelompok 'Islamis' misalnya tidak sanggup bergaul dengan mereka yang mempunyai isteri tidak bertudung, tetapi pada masa sama tidak merasa bersalah berkerjasama dengan mereka yang rasuah dan salah guna kuasa secara nyata.

Berikut merupakan nota-nota penting yang perlu difahami oleh Umat Islam;

Ada dua jenis dosa yang dilakukan manusia. Yang pertama; dosa antara dirinya dengan Allah. Mudarat dosa itu terkena kepada dirinya sendiri.

Contohnya zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya. Dalam kata lain, ia dosa ataupun aib peribadi antara hamba dengan Tuhannya.

Yang kedua; dosa antara dirinya dengan Allah namun pada masa sama mendatangkan bahaya ataupun mudarat kepada pihak lain.

Contohnya rasuah, menyebarkan hadis palsu, merompak, mencuri, mengedar dadah, merogol, pecah amanah dan seumpamanya. Dosa ini bukan sahaja antara hamba dengan Allah, tetapi ia boleh mengancam pihak lain.

Apabila kita membaca nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, kita dapati Islam melarang kita mendedahkan aib ataupun dosa peribadi seseorang selagi ia tidak mengancam keselamatan awam ataupun pihak lain.

Kita dilarang untuk tajassus (mengintip) dosa kategori ini. Jika perlakuan itu zahir di hadapan kita, kita disuruh mencegahnya, tapi bukan untuk menghebohkannya.

Banyak nas larangan mendedah aib peribadi ini dalam hadis-hadis Rasulullah.

Berbeza dengan dosa kategori kedua yang boleh memberikan kemudaratan kepada pihak lain, maka kita boleh mendedahkannya untuk memelihara keselamatan dan kemaslahatan pihak lain.

Misalnya penyebar hadis daif dan palsu, sebab itu ulama hadis menyenaraikan nama penyebar hadis palsu dalam kitab rijal (latar belakang) bagi mengelakkan hadis mereka dijadikan pegangan oleh pihak lain.

Demikian dengan perasuah, perompak, pemecah amanah awam, perogol dan siapa sahaja yang dosanya itu boleh mengancam pihak lain, maka perlakuannya itu didedahkan dengan tujuan mengelakkan pihak lain menjadi mangsa dan dizalimi.

Namun kepada yang tidak terbabit, ia tidak boleh dihebohkan. Pendedahan pula perlu bersifat objektif dan hanya kepada isu yang terbabit sahaja.

Ikut teladan Nabi Muhammad

Jika kita lihat dalam hadis Rasulullah, baginda cuba menyembunyikan dosa peribadi antara seseorang itu dengan Allah. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:

“Wahai Rasulullah, aku berasmara dengan seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu."

Lalu Umar al-Khattab berkata kepadanya: "Allah telah tutupi keaibanmu (alangkah baik) jika engkau menutupi (keaiban) dirimu". Rasulullah tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi.

"Rasulullah menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya), 'Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat'. (Surah Hud ayat 114).

Maka ada seorang bertanya: "Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Rasulullah: Bahkan untuk manusia keseluruhannya'."

Hadis ini menunjukkan seseorang itu tidak disuruh mengakui dosa peribadinya sekalipun di hadapan Rasulullah, apatah lagi mendedahkannya di hadapan orang lain. Menutup keaiban itulah yang disuruh, bukan mencari keaiban peribadi orang lain untuk didedahkan.

Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari, Muslim dan selain mereka, Rasulullah menyebut: “Sesiapa yang menutup (aib) seorang muslim, Allah tutup aibnya pada Hari Kiamat”

Maka, aib peribadi seseorang muslim itu sepatutnya ditutup, bukan dibuka di dada-dada berita dan seumpamanya.

Bahkan mendedahkan maksiat peribadi itu sendiri adalah kesalahan besar di sisi Allah. Sabda Rasulullah: "Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menzahirkan (dosanya).

"Antara perbuatan yang menzahirkan dosa itu; seseorang yang melakukan dosa pada malam hari, kemudian berpagi dalam keadaan Allah telah menutup (keaibannya), kemudian dia sendiri memberitahu: 'Wahai si polan, aku telah lakukan ini dan itu semalam.' Dia sendiri yang menyelak tutupan Allah untuknya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Demikian juga pemerintah ataupun pihak yang ingin melakukan amar makruf dan nahi munkar, dilarang mencari-cari dosa ataupun aib yang bersifat peribadi ini.

Wala tajassasu

Dalilnya riwayat al-Hakim daripada Abdul Rahman bin ‘Auf : Bahawa dia berkawal bersama Umar al-Khattab pada satu malam di Madinah.

Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampir didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.

Lalu Umar berkata - sambil memegang tangan Abdul Rahman: "Kau tahukah ini rumah siapa?". Jawab: 'Tidak'. Kata Umar: "Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?'.

Kata Abdul Rahman: 'Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: 'Jangan kamu mengintip'. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka. (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta disokong oleh al-Zahabi, al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra)

Lebih daripada itu, pemerintah hendaklah mengelakkan daripada diangkat kes aib peribadi yang dibawa kepada pengadilan. Dalam hadis, Rasulullah menolak berulang kali pengakuan zina Ma’iz bin Malik al-Aslami.

Imam Muslim meriwayatkan dalam sahihnya: Sesungguhnya Maiz bin Malik al-Aslami datang kepada Rasulullah lalu berkata: "Wahai Rasulullah! Aku telah menzalimi diriku sendiri. Aku telah berzina. Aku mahu engkau membersihkan daku". Rasulullah menolak pengakuannya. Keesokannya dia datang lagi dan berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina". Baginda menolak pengakuannya kali kedua.

Rasulullah menghantar wakil ke kaumnya lalu bertanya: "Apakah kamu tahu dia ada masalah pada akalnya, ada sesuatu yang kamu rasa ganjil?" Jawab mereka:

"Apa yang kami tahu dia sempurna akalnya dan kami lihat dia dari kalangan orang soleh kami. Keesokan harinya, Maiz datang lagi kepada Rasulullah kali ketiga. Baginda sekali lagi menolak pengakuannya dan menghantar lagi wakil ke kaumnya. Mereka memberitahu bahawa Maiz tiada masalah pada diri dan akalnya.

Dalam riwayat Ibn Hibban, Rasulullah memerintah agar Maiz dihalau keluar dari datang kepada baginda supaya tidak terus membuat pengakuan zina tersebut. Hal ini sangat berbeza dengan mentaliti sesetengah pihak berkuasa agama yang suka mencari-cari dosa peribadi ini.

9. Apabila kita memahami pembahagian dosa ini, maka kita faham maksud al-Quran dalam Surah al-Hujurat ayat 12: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu tajassus (mengintip mencari-cari kesalahan orang).”

Imam al-Tabari (meninggal 310H) telah menghuraikan dengan jelas maksud ayat ini.

Antaranya: Wala tajassasu bermaksud jangan kamu mencari keaiban satu sama lain, jangan kamu mencari rahsia-rahsianya dengan tujuan untuk mengetahui kecacatannya. Namun berpadalah dengan apa yang nyata dari dirinya. Nilailah dia atas asas tersebut sama ada baik atau buruk. Jangan kamu mencari kesalahannya.

Sebab itu Islam mengetatkan syarat tuduhan zina. Empat orang saksi yang adil yang melihat zina berlaku secara jelas.

Logiknya, siapakah yang akan terus berzina di hadapan empat orang yang baik yang sedang melihat aksi zinanya? Jika ada juga penzina yang sanggup berzina di depan tontonan orang, bererti maksiatnya itu bukan lagi bersifat peribadi tetapi cuba merosakkan masyarakat awam secara terbuka.

Penuduh zina pula jika gagal mendatangkan empat orang saksi maka boleh disebat 80 kali. Hukuman qazaf (menuduh zina) 80 sebatan itu hampir sama dengan hukuman zina sendiri, iaitu 100 sebatan.

Ertinya, jika anda tidak cukup saksi, sekalipun anda yakin zina itu berlaku, maka cegahlah kemungkaran itu, namun jangan membuat tuduhan terbuka.

Jika anda menuduh secara terbuka, maka hukuman qazaf boleh dikenakan kepada anda. Demikian Islam cuba menutup aib yang bersifat peribadi supaya tidak menjadi bahan gossip masyarakat.

Pemahaman songsang 

Adapun dosa yang menggugat keselamatan awam ataupun berpotensi menzalimi pihak lain, ia diselidiki dan disiasat agar kepentingan awam terselamat dan boleh didedahkan untuk menegakkan keadilan.

Orang yang dizalimi boleh menjelaskan keburukan pihak yang zalim tanpa pembohongan.

Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 148: (maksudnya) “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui."

Justeru itu kita lihat bagaimana Rasulullah menghantar sahabat menyiasat surat Hatib bin Abi Balta’ah kepada musuh iaitu pihak Quraisyh di Mekah. Sekalipun Hatib seorang sahabat yang baik, namun siasatan tetap dibuat kerana ia menggugat kepentingan negara.

Dalam hadis, Saidina ‘Ali menceritakan: Rasulullah telah mengutuskan aku, Zubair bin Awwam dan Abu Marthad al-Ghanawi (kami semua adalah penunggang kuda).

Baginda bersabda: "Pergilah kamu semua sehingga sampai ke Raudah Khakh. Sesungguhnya di sana ada seorang wanita dari kalangan musyrikin. Dia membawa bersamanya surat daripada Hatib bin Abi Balta`ah kepada musyrikin". Maka kami pun mengejarnya. Dia menaiki unta seperti yang dikatakan oleh Rasulullah.

Kami berkata kepadanya: "Manakah surat yang bersama engkau!" Dia menjawab: "Kami tidak membawa sebarang surat". Maka kami pun memeriksa wanita itu. Namun, kami tidak jumpa sebarang surat.

Kami berkata: "Rasulullah tidak pernah berdusta, sama ada engkau keluarkan surat tersebut atau kami akan telanjangkan engkau!

Apabila dia melihat kesungguhan kami maka dia pun terus mendapatkan simpulan kainnya. Dia pun mengeluarkan surat tersebut, lalu kami terus membawa surat itu kepada Rasulullah.

Baginda bersabda (kepada Hatib): "Apa yang mendorong tindakanmu?" Kata Hatib: “Demi Allah, bukan aku tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Aku tidak menukar dan mengubahnya. Tetapi aku ingin mendapatkan bantuan daripada kaum (Quraisy). Dengannya Allah akan menyelamatkan keluarga dan hartaku. Tidak ada seorang pun di kalangan sahabatmu yang tidak mempunyai kaum kerabat di sana, di mana dengannya ALLAH selamatkan keluarga dan hartanya".

Sabda baginda: "Dia benar! Janganlah kamu berkata kepadanya melainkan yang baik." (Riwayat al-Bukhari).

Demikian apabila ada pihak yang ingin meminang seseorang wanita, Rasulullah mendedahkan kepada wanita berkenaan hal pihak yang meminang bagi kemaslahatannya.

Dalam kisah Fatimah binti Qais yang dipinang oleh Abu Jahm dan Muawiyah bin Abi Sufyan, Rasulullah memberitahu kepada Fatimah binti Qais:

“Adapun Abu Jahm, dia tidak meletakkan tongkat dari bahunya (ditakwilkan bermaksud sering memukul isteri). Sementara Mu’awiyah seorang yang terlalu miskin, tiada harta padanya. Kahwinilah Usamah bin Zaid.” (Riwayat Muslim).

Dalam hadis ini Rasulullah mendedahkan kelemahan mereka demi menjaga kemaslahatan pihak yang terbabit iaitu Fatimah binti Qais.

Masyarakat dan kerajaan hendaklah dapat membezakan dua jenis dosa ini.

Malangnya, apabila kita gagal membezakannya, maka golongan kuat agama heboh jika ada tokoh yang berkhalwat tetapi membisu apabila ada isu rasuah dan penyalahgunaan harta awam berleluasa.

Isu-isu aib peribadi diangkat dan diberikan pelbagai ulasan agama, sementara isu jenayah awam pula ramai agamawan yang mendiamkannya.

Ini adalah tanda kesongsangan kita dalam memahami jenis-jenis dosa.


DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah mufti Perlis.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS