Hutang negara kini sudah mencecah angka lebih RM1 trilion berbanding hanya RM300 bilion sebelum ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita dapati kewangan negara umpannya telah dicabul dengan begitu besar sehingga sekarang ini kini menghadapi masalah penyelesaian hutang yang meningkat kepada trilion ringgit.
“Ini tidak pernah dilakukan oleh kita,” katanya dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.
Ini adalah perhimpunan pertama beliau selepas mengambil alih tapuk kepimpinan negara dari pendahulunya Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, Mahathir berkata, peningkatan ketara hutang itu menyebabkan kesukaran pembayaran balik.
Beliau justeru menggesa penjawat awam bekerjasama dengan pentadbiran sekarang untuk mengurangkan hutang tersebut.
Jumlah hutang negara yang diketengahkan Mahathir itu jauh lebih tinggi daripada yang dinyatakan oleh pentadbiran BN sebelum ini.
Kementerian Kewangan di era Najib merekodkan jumlah hutang negara sebanyak RM687.43 bilion setakat September 2017.
Awal bulan ini, The Edge Financial Daily melaporkan hutang kerajaan meningkat sekitar 10 peratus setahun dari RM266.72 bilion pada 2007 kepada RM687.43 bilion pada September 2017, susulan perbelanjaan berlebihan.
Harian kewangan itu telah memberi amaran hutang negara akan lebih RM1 trilion menjelang 2021 jika purata peningkatan kekal 10 peratus.
Mahathir berikrar mengurangkan perbelanjaan kerajaan selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri sekali lagi, 10 Mei lalu.