Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 berpunca daripada 'fitnah' parti pembangkang.

"Kempen yang bersifat terlalu menyerang peribadi dan menabur fitnah dan kebencian serta janji-janji manis yang sebahagian besar jelas takkan dapat dilaksanakan malangnya telah menyebabkan kekalahan kepada Umno BN dalam PRU ini," katanya di hadapan para penyokongnya di Pekan hari ini.

Najib, yang juga anggota parlimen Pekan, berkata menang dan kalah merupakan adat dalam sesuatu pertandingan dan beliau tidak akan berasa ralat jika pihak lawan mempunyai agenda yang lebih baik.

"Tapi sebaliknya terasa dalam hati, bukan soal dasar, agenda, tapi kempen memburukkan pemimpin dan janji-janji manis yang tak mungkin dapat dilaksanakan.

"Ni saya rasa terkilan. Bukan kekalahan itu tapi kekalahan atas penyelewengan fakta.

"Ini tak adil dalam demokrasi. Ni bukan contestation of ideas tapi berdasarkan berita palsu yang kita termakan," katanya kepada kira-kira 500 orang.

Najib berkata BN tidak membuat janji palsu tetapi hanya menawarkan janji yang mampu dilaksanakannya.

"Mungkin saya silap, patut ambil sikap matlamat menghalalkan apa cara sekalipun, (dengan mengunakan) machiavelan politics," katanya yang turut mempersoalkan sama ada siasatan terhadap beliau berhubung 1MDB dilakukan dengan telus.

Beliau juga menyatakan rasa kesal terhadap serbuan polis yang telah mengambil barang milik anak-anaknya.

"Apa kena mengena 1MDB dengan kasut anak saya. Kalau nak ambil barang mesti ada bukti, orang putih kata prima facie evidence. Takkan tengok satu barang, nampak, cekup, bawa ke Bukit Aman

"Apa kaitan hadiah perkahwinan dengan 1MDB. Tak layak ke anak saya dapat hadiah perkahwinan. Dia kahwin dengan keluarga yang ada kemampuan di Khazakstan," katanya.

Sementara itu, Ketua MCA Bandar Tun Razak, Chew Yin Kee menyalahkan Najib dan skandal 1MDB menjadi punca kekalahan BN ada PRU14 lalu.

"Sebab utama kekalahan dan kehilangan kuasa BN pada pilihan raya umum adalah skandal yang mengelilingi perdana menteri Najib dan keluarganya, khususnya 1MDB dan sumbangan politik RM2.6 bilion , "katanya dalam satu kenyataan.

Faktor lain katanya, termasuk kenaikan kos sara hidup akibat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan Najib pada tahun 2015.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS