Paling Popular
Terkini

Hari ini merupakan lawatan pertama bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ke Pekan, Pahang sejak BN mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum, 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, sokongan penduduk Pekan terhadap Najib yang telah menjadi anggota parlimen mereka sejak 42 tahun lalu tidak pernah berkurang.

Ketika Najib tiba di kediamannya di Pekan tengah hari ini, beliau diberikan sambutan dan dikerumuni penyokong yang mahu bersalam dan mencium tangannya.

Beberapa penyokong wanita juga dilihat tersedu-sedu menahan tangisan mereka.

Apabila Najib keluar dari kediamannya sejam kemudian untuk membantu wanita-wanita berkenaan mengacau bubur lambuk, ramai yang teruja dan mengambil kesempatan bergambar dengan bekas presiden Umno itu.

Anggota jawatankuasa Umno Bahagian Pekan, Melati Ali, 65, berkata beliau akan kekal setia kepada Najib walaupun Umno mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu.

"YB ahli parlimen kita. Saya ahli Umno yang lama yang masa zaman Tun Razak pun, keturunan kami Umno tegar.

"(Kami) takkan beralih walaupun tinggal tiga negeri. Kami tetap mempertahankan Umno supaya satu hari Umno balik semula (menjadi kerajaan)," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau juga menyatakan rasa sedih terhadap apa yang berlaku dan tidak menyangka BN akan mengalami kekalahan selepas bekerja keras selama lima tahun.

"Saya tak menyangka perkara ni boleh berlaku.

"Dari segi kerja (Najib) memang kerja kuat, bukan untuk setahun, tapi lima tahun sebelum PRU," katanya.

Sementara itu, Melati juga tidak bersetuju dengan cara Najib dilayan, merujuk kepada tindakan polis membawa trak Black Maria di kediaman bekas perdana menteri itu.

"Saya rasa memang tak wajar. Bukan dia penjenayah. Dia bukan agresif. Kita ada cara lebih tersusun dan berhemah, lagi-lagi ini di bulan puasa," katanya.

Seperti kebanyakan penduduk tempatan yang lain, Rohana Ali turut berasa terharu menyambut kedatangan Najib ke kawasan itu hari ini.

"(Najib) Banyak tolong orang Pekan dan membawa pembangunan. Dulu tak ada Universiti, sekarang U dah banyak.

"Rasa pemerintahan dia memang bagus. Sekarang memang kita rasa sedih untuk masa depan anak-anak kita," katanya.

Katanya, penduduk kini mula merasakan kesan kekalahan BN apabila projek-projek pembangunan mula berkurangan.

"Apapun memang kita sokong penuh (BN). Walaupun BN jatuh kita tetap Umno. Tak pergi ke lain," tambah wanita berusia 56 tahun itu.

Najib kini berada di Pekan untuk merasmikan mesyuarat beberapa bahagian Umno. 

Kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur dikawal ketat pihak polis sejak beberapa hari lalu selepas serbuan dilakukan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menjangkakan Najib akan didakwa berhubung pengubahan wang haram melibatkan beratus-ratus juta dolar dari 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS