Pemuda Umno menggesa semua pihak menghentikan cadangan supaya parti itu mengelak pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan akan datang.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kegagalan mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu hanya akan menambah persepsi buruk rakyat kepada Umno.
“Tidak, kita tidak boleh ada peraturan itu (menang tanpa bertanding) lagi dalam Umno.
"Cadangan berkenaan menghantar isyarat buruk kepada orang ramai," katanya ketika ditemui media di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam mencadangkan supaya tiga jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan yang bakal berlangsung selepas ini.
Mohd Ali yang pernah menjadi naib presiden parti itu memberitahu jawatan yang perlu dielakkan pertandingan ialah presiden, timbalan presiden dan naib presiden.
Perhimpunan Agung Umno pada Disember tahun lalu juga meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan.
Usul itu - dibentangkan oleh Pemuda Umno - diluluskan selepas dibahas pada hari kedua perhimpunan agung.
Punca Umno kalah
Umno kini bergelut dengan isu kepimpinan selepas parti itu kecundang teruk kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.
Tidak cukup dengan itu Datuk Seri Najib Razak yang mengepalai BN menghadapi HARAPAN juga kini disiasat polis berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB.
Najib bagaimanapun sudah meletakkan jawatan sebagai presiden Umno serta pengerusi BN.
Menurut Khairy beliau berpendapat sesuatu jawatan dalam Umno perlu dipertandingkan bagi mengelak terhakisnya keyakinan orang ramai kepada mereka.
“(Tanpa pertandingan) seolah-olah kita tak buka ruang demokrasi kepada ahli-ahli kita.
"Saya fikir lebih baik hentikan omong kosong tidak ada pertandingan ini.
“Budaya tidak mempertandingkan jawatan ini antara punca menyebabkan kita kalah,” katanya yang 'terselamat' di kerusi Rembau dalam PRU ke-14 lalu.