Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kami fikir Dr M hanya dihalang pegang menteri kewangan'
Diterbitkan:  May 17, 2018 5:49 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang hadir pada mesyuarat majlis presiden sebelum ini tidak bersuara ketika Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau akan mengambil portfolio menteri pendidikan.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, berkata mereka percaya perdana menteri hanya dihalang daripada menjadi menteri kewangan, sedangkan manifesto menyatakan beliau tidak akan memegang jawatan menteri lain.

"Apabila Tun (Mahathir) mengumumkan beliau akan memegang portfolio kementerian pendidikan, tiada siapa yang membantahnya.

"Semua orang dalam pertemuan itu seperti, 'Oh, okay.'

"Kami ingat beliau (cuma) tak sepatutnya memegang portfolio kewangan serentak dengan jawatan perdana menteri," kata sumber dalam PKR.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub yang hadir semasa mesyuarat itu, mengesahkan perkara itu.

"Ini tidak dibangkitkan semasa mesyuarat," kata Salahuddin.

Langkah Mahathir memegang jawatan menteri pendidikan bertentangan dengan manifesto HARAPAN, yang menyatakan: "Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutama menteri kewangan.

Salahuddin, yang diingatkan perkara itu apabila dihubungi Malaysiakini, berkata mereka akan membawa perkara itu kepada Mahathir.

"Jika dalam manifesto menyebut seperti itu, kami akan ingatkan Mahathir mengenai perkara ini," kata Ahli Parlimen Pulai berkenaan.

Pengumuman Mahathir yang bercanggah dengan janji manifesto itu turut dibangkitkan oleh pemimpin BN dari Gerakan dan MCA hari ini.

Setakat ini lima jawatan kabinet telah diisi oleh Mahathir, manakala lapan lagi akan diisi kemudian.

Mahathir berkata lapan portfolio yang tinggal akan diisi oleh dua wakil dari BERSATU, DAP, PKR, dan AMANAH.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS