Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ekonomi M'sia tumbuh 5.4 peratus suku pertama 2018
Diterbitkan:  May 17, 2018 3:04 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Ekonomi Malaysia meningkat 5.4 peratus pada suku pertama 2018 (1Q 2018), disokong oleh pengembangan aktiviti sektor swasta yang berterusan serta sokongan mantap daripada eksport bersih.

Dalam kenyataannya hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi meningkat 1.4 peratus (Q4 2017: 1.0 peratus.

Ia bekata inflasi keseluruhan menurun kepada 1.8 peratus pada Q1 2018 (Q4 2017: 3.5 peratus).

Ini mencerminkan kesan daripada harga bahan api domestik yang lebih kecil berikutan kenaikan harga minyak dunia yang lebih rendah berbanding suku tahun sebelumnya serta kadar pertukaran ringgit yang lebih kukuh pada suku pertama 2018.

Keadaan pasaran kewangan domestik kekal teratur walaupun tahap turun naik meningkat ekoran perkembangan di luar negeri.

Institusi kewangan domestik terus berdaya tahan dan mempunyai kualiti aset yang mantap, keuntungan yang kukuh dan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi, kata BNM.

“Aktiviti pengantaraan kredit terus menyokong aktiviti ekonomi benar dengan sektor perniagaan dan isi rumah mengekalkan keupayaan untuk membayar balik hutang dengan baik,” katanya.

Pada masa hadapan, ekonomi Malaysia dijangka kekal pada landasan pertumbuhan yang menggalakkan pada 2018, dengan permintaan domestik dijangka terus menggalakkan pada 2018, dengan permintaan dalam negeri terus menjadi pemacu utama pertumbuhan

BNM berkata inflasi keseluruhan dijangka berada pada purata 2 peratus hingga 3 peratus pada 2018, disebabkan oleh faktor kos global yang lebih kecil dan kadar pertukaran ringgit yang lebih kukuh berbanding 2017.

Inflasi keseluruhan, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, disebabkan oleh kesan pindahan kos yang lebih kecil terhadap harga runcit berbanding 2017.

Sementara itu, BNM mengetengahkan tiga isu, termasuk ‘Pertikaian Perdagangan: Implikasi Terhadap Perdagangan dan Pelaburan’ – menilai kesan yang mungkin dihadapi dan implikasi dasar berikutan cadangan pelaksanaan langkah-langkah perdagangan yang diumumkan baru-baru ini oleh Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China, terhadap ekonomi global dan Malaysia.

“Pertimbangan dasar utama termasuk meneruskan pembaharuan untuk memastikan permintaan dalam negeri kekal berdaya tahan bagi mengurangkan sebarang kejutan luaran terhadap ekonomi,” katanya.

Kedua – ‘Global Slack sebagai Penentu Inflasi’ – meninjau pengaruh faktor-faktor yang berkaitan dengan globalisasi terhadap dinamik inflasi dalam ekonomi Asia-Pasifik, yang menonjolkan cabaran-cabaran lebih besar yang dihadapi oleh pihak berkuasa kewangan untuk membuat unjuran dan menguruskan inflasi memandangkan inflasi semakin dipengaruhi oleh faktor-faktor global.

Faktor ketiga ialah ‘Memantapkan Kualiti dan Ketelusan Perkhidmatan untuk Pengguna Kewangan" – menyerlahkan kepada orang ramai tentang inisiatif yang diambil oleh industri kewangan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia untuk memantapkan kualiti dan ketelusan khidmat pelanggan.

“Inisiatif ini termasuk menetapkan piawaian perkhidmatan pelanggan seluruh industri bagi sektor perbankan selain menjalankan Kaji Selidik Kepuasan Pelanggan untuk menilai pengalaman sebenar pengguna,” katanya.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS