Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) akhirnya meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai gabungan politik yang sah.
Terdahulu, gambar sijil pendaftaran seumpamanya tersebar di media sosial.
Ketika dihubungi Malaysiakini, sumber daripada majlis presiden HARAPAN mengesahkan dokumen berkenaan.
Sumber berasingan di Pejabat Perdana Menteri turut mengesahkan perkara sama.
Keputusan Pengarah ROS Suryatai Ibrahim meluluskan pendaftaran berkenaan adalah selepas seminggu HARAPAN menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pada PRU 9 Mei itu, komponen parti HARAPAN yang terdiri daripada PKR, DAP, BERSATU, dan AMANAH terpaksa bertanding menggunakan logo PKR kerana HARAPAN gagal didaftarkan.
Sebelum ini, Suryati enggan meluluskan pendaftaran HARAPAN atas alasan pendaftaran BERSATU masih menunggu kelulusan.
ROS juga mengenakan pembubaran sementara BERSATU kerana mendakwa parti itu gagal mengikut peraturan yang ditetapkan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak pembubaran sementara itu namun kes masih berjalan.
Surayati tidak dapat dihubungi untuk ulasan.