Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RUU355: PAS harap kerajaan baru beri ruang lebih luas

PAS berharap kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memberi ruang lebih luas kepada agenda parti itu untuk membawa pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 (RUU355).

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Nik Zawawi Salleh berkata, RUU355 perlu dilihat sebagai agenda Islam, bukannya agenda PAS atau mana-mana parti politik.

"Kita mengharapkan semua pemimpin beragama Islam supaya memahami tugas dan tanggungjawab mereka sangat besar di sisi Allah berkenaan dengan RUU355.

"Ini agenda agama yang dibawa oleh PAS. PAS tidak lebih daripada pihak yang diberi amanah oleh Allah dan ingin menyempurnakan tanggungjawab itu," katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berharap kerajaan baru dapat memberi ruang yang lebih luas berbanding kerajaan BN pada penggal sebelumnya.

PAS sebelum ini menjadikan RUU355 sebagai agenda utama parti itu.

Melalui presidennya yang juga Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ia dibentangkan sebanyak tiga kali sebagai RUU persendirian di Dewan Rakyat penggal namun belum pernah dibahaskan.

Dikatakan untuk memperkasa undang-undang Syariah, RUU itu bertujuan meningkatkan had hukuman terhadap kesalahan yang dibicarakan di mahkamah itu.

Ia mencadangkan hukuman maksimum terhadap pesalah syariah dinaikkan daripada 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan rotan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.

Nik Zawawi yang juga Anggota Parlimen Pasir Puteh berkata ruang itu termasuk melalui media massa agar PAS dapat memberikan penjelasan kepada masyarakat terutama golongan bukan Islam.

"InsyaAllah kita bersedia untuk mengemukakan penjelasan untuk bukan Islam dan Islam serta bersedia berdialog secara harmoni kepada sesiapa sahaja yang tak memahaminya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS