Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu hari ini menolak permohonan bekas ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi untuk menyertai BERSATU tanpa rundingan.
Jamaluddin dan beberapa anggota Umno menyerahkan borang permohonan menyertai parti itu kepada Ahmad Faizal di sidang media semalam.
Dalam kenyataannya hari ini Ahmad Faizal berkata beliau hanya menyedari kehadiran Jamaluddin selepas sidang media berakhir.
“Saya dimaklumkan kehadiran saudara Jamaluddin Mohd Radzi yang telah menjadi salah satu faktor pengkhianatan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat sehingga berlaku krisis pentadbiran di negeri Perak pada tahun 2008.
“Untuk itu setelah mengambil maklum semua perkara dan asas yang kukuh saya dengan ini memaklumkan bahawa permohonan beliau untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah
ditolak tanpa rundingan.
“Keputusan ini diambil atas prinsip bahawa setiap kemasukan sesiapa sahaja ke dalam Pakatan Harapan khususnya di Negeri Perak akan dibawa untuk pertimbangan yang tegas agar segala episod duka rakyat tidak berulang,” katanya.
Pada tahun 2009, Jamaluddin melompat dari PKR untuk menjadi ADUN Bebas dan kemudian menyokong BN.
Ini mencetuskan krisis perlembagaan Perak, yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat ketika itu.
Semalam, Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh mengutuk langkah Ahmad Faizal untuk menerima Jamaluddin ke dalam parti komponen HARAPAN.
Sementara itu, Bernama melaporkan HARAPAN Perak mengamalkan prinsip meraikan sokongan daripada sesiapa sahaja termasuk yang ingin menyertai gabungan itu dan memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan pentadbiran negeri.
Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata permohonan kemasukan sesiapa sahaja ke dalam HARAPAN khususnya di negeri ini adalah pertimbangan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Perak.
"Setiap permohonan kemasukan diberi pertimbangan yang tegas agar segala episod duka rakyat tidak berulang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi HARAPAN Perak mengulas keputusan menolak kemasukan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak.
Ahmad Faizal berkata keputusan itu ditolak setelah mengambil kira bahawa Jamaluddin menjadi salah satu faktor pengkhianatan kerajaan Pakatan Rakyat sehingga berlaku krisis perlntadbiran di Perak pada 2008.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Perak Siti Aishah Shaik Ismail berkata kehadiran Jamaluddin dalam satu sidang media berkaitan kemasukkan ADUN Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ke dalam PPBM semalam adalah tidak diundang.
"Beliau (Menteri Besar) juga menegaskan bahawa penyertaan penyertaan mana-mana individu tidak menjadi asas kepada sebarang bentuk penawaran jawatan atau tempat dalam setiap posisi pentadbiran politik negeri," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Siti Aishah berkata HARAPAN Perak memadang serius setiap perkara yang berlaku agar ia tidak membantutkan usaha kerajaan negeri bagi memastikan keutamaan rakyat didahulukan.
Ditanya mengenai tawaran jawatan Exco kepada Zainol Fadzi dan ADUN Tualang Sekah Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi, Siti Aisha berkata perkara itu akan diputuskan kemudian.