Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno di Perak yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) digugurkan keanggotaan mereka serta merta, kata pemangku presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Secara automatik mereka gugur sebagai anggota Umno, bukan lagi anggota Umno kerana menyokong kerajaan yang bukan di bawah BN.

"Tak ada peraturan dan perlembagaan yang mengatakan, (anggota) menyokong (parti) pembangkang (sebelum ini) masih jadi ahli.

"Saya umum dua-dua gugur secara automatik," katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, ibu negara hari ini.

Semalam, ADUN Tualang Sekah Nolee Radzi berkata beliau menyokong menteri besar dari HARAPAN, Ahmad Faizal Azumu membentuk kerajaan untuk memastikan kestabilan di negeri ini dan rakyatnya.

Ini kerana menurutnya Perak masih tidak mempunyai kerajaan negeri, tiga hari selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diadakan pada 9 Mei lalu.

Sementara itu, ADUN Sungai Manik Zainol Fadzi Paharuddin juga memberitahu media bahawa beliau tidak melompat parti, tetapi hanya menyokong Faizal untuk menjadi menteri besar.

Bagaimanapun, menurut laporan Seehua Daily, Zainol dalam satu sidang media hari ini di Ipoh mengumumkan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Beliau bersama-sama beberapa anggota Umno juga mengisi borang keanggotaan BERSATU pada sidang media tersebut.

Pada PRU14 yang diadakan pada Rabu lalu, HARAPAN memenangi 29 kerusi, kurang satu daripada 30 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti mudah dalam dewan undangan negeri Perak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS