Badan Peguam Malaysia memberikan menyokong Datuk S Ambiga untuk dilantik sebagai peguam negara yang baru menggantikan Tan Sri Apandi Ali.
Presidennya George Varughese berkata Ambiga adalah calon terbaik untuk jawatan itu bagi memastikan kebebasan badan itu kerana beliau bukan orang politik.
“Jika Ambiga dilantik sebagai AG baru, beliau akan pastikan jabatan itu bebas dari pengaruh dan campur tangan politik,” katanya kepada Malaysiakini.
Varughese berkata seorang AG mestilah mempunyai perwatakan baik dan mampu memberikan nasihat yang betul kepada perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
AG juga, katanya, harus bebas dari pengaruh mana-mana kaum, agama dan jantina.
“Untuk itu, Ambiga memenuhi kriteria itu,” katanya sambil berkata Ambiga mendapat sokongan badan itu.
Selain memimpin Badan Peguam Ambiga juga pernah menjadi pengerusi gabungan reformasi sistem pilihan raya.
Dalam kenyataan semalam, Varughese berkata Pejabat Peguam Negara (AGC) perlu diasingkan daripada pejabat pendakwa awam.
Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad telah memberi bayangan akan menukar Apandi. Apandi bagaimanapun hari ini tetap masuk ke pejabatnya seperti biasa.
Apandi terpalit dakwaan cuba menutup skandal 1MDB. Beliau menafikan membuat apa-apa kesalahan.