Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dzukifli Ahmad letak jawatan ketua SPRM
Diterbitkan:  May 14, 2018 11:43 AM
Dikemaskini: 5:12 AM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad hari ini meletakkan jawatan dalam suruhanjaya itu.

Malaysiakini difahamkan Dzulkifli menghantar surat peletakan jawatan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, pagi ini.

Perdana menteri baru, Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu Ali dan pegawai agensi kerajaan kanan yang lain, di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, awal hari ini.

"Surat itu telah dihantar kepada (PM) Mahathir untuk kelulusan.

"Ia masih belum diputuskan siapa yang akan mengisi kekosongan itu," kata sumber kepada Malaysiakini.

Dzulkifli, 50, dilantik memegang jawatan tertinggi SPRM pada 1 Ogos 2016 bagi menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagaimanapun nama Abu Kassim kini disebut-sebut bakal memegang jawatan itu sekali lagi susulan peletakan jawatan Dzulkifli.

Selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan berikutan kemenangan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, Mahathir memberi amaran bahawa ketua-ketua agensi kerajaan termasuk SPRM akan turut disiasat.

Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan dalam kepimpinan atasan SPRM jika didapati badan pencegah rasuah itu tidak berlaku adil.

"Kita akan kaji sama ada SPRM adil atau tidak. Jika kita dapati bahawa mereka berat sebelah selama ini dalam apa jua cara, termasuk terhadap diri kita sendiri, kita perlu menukar mereka.

"Seperti yang dijanjikan, semua ketua (agensi) utama yang baru akan disaring oleh parlimen," katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Dzulkifli untuk mendapatkan komen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS