Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan prosedur Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pelantikan menteri dengan menjanjikan kabinetnya tidak akan mempunyai lebih daripada 30 menteri, berbanding 35 ketika pentadbiran BN.
Beliau berkata kaedahnya melantik sepuluh menteri utama terlebih dulu - dan membuat penambahan kemudian - sama seperti yang pernah dilakukan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.
"Ini cara kita mulakan pentadbiran, kabinet baru yang tak pernah diadakan melainkan Tunku Abdul Rahman pada 1957. Ketika itu (Tunku) kabinet kecil dan tak sampai sepuluh (menteri), termasuk tiga pegawai British.
"Kemudian kementerian lain ditambah. Tetapi rejim sebelum ini menambah dengan terlalu banyak sehingga 35 (menteri). Sebolehnya kita tak mahu (bilangan) terlalu besar," katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di RMT1 petang tadi.
Perdana menteri berkata komposisi sepuluh menteri mungkin tidak berdasarkan jumlah Parlimen yang dimenangi parti komponen HARAPAN, tetapi ia akan ditangani dengan pelantikan kementerian seterusnya.
"Saya harap dalam seminggu ini kita dapat bentuk kabinet sebanyak sepuluh orang, ia akan bergerak sebagai kabinet yang sah, sementara kita memlih lagi banyak menteri sehingga 25 orang.
"Dalam kabinet sepuluh (menteri) agihan tidak dapat mengikut peratusan (kerusi) parti, ada parti mungkin lebih wakil rakyat, ada yang kurang.
"Jika ada parti tidak dapat (kedudukan menteri berdasarkan) peratusan, tambahan akan (dibuat) akan datang apabila kita penuhi semua 25 kementerian," katanya.
Beliau kemudian berkata, jumlah keseluruhan kementerian boleh mencapai 30 berdasarkan kerjasama dengan parti di Sabah dan Serawak, yang akan mempunyai wakil dalam kabinet.
Jumlah keseluruhan bagaimanapun kekal lebih rendah daripada BN yang mempunyai 35 kementerian.
Suara majoriti
Mahathir berkata kabinet baru akan mematuhi suara majoriti.
"Dalam kabinet kita akan guna ikut majoriti (majority rule). Jika kita mahu ikut konsensus mungkin kita tak boleh buat keputusan sama sekali," katanya lagi.
Beliau juga menjelaskan prosedur pelantikan sepuluh menteri pertama, mengatakan setiap parti komponen HARAPAN diminta memberikan tiga calon serta kementerian pilihan mereka.
"Sudah tentu akan ada pertindihan, ini akan ditentukan oleh perdana menteri.
"Perdana menteri akan semak calon yang dinamakan parti dan akan memutuskan siapa yang memegang (setiap) kementerian.
"Perdana menteri juga jika perlu akan memanggil ketua setiap parti untuk bertanya dan mendapat maklumat yang lebih mendalam tentang pilihan mereka," katanya.
Mahathir sudah menamakan tiga menteri pertama, iaitu Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri.
Beliau juga berkata bilangan timbalan menteri akan ditentukan kemudian tetapi dasar memastikan campuran empat parti komponen bagi setiap kementerian akan kekal.
"kalau menteri datang dari satu parti, timbalannya hendaklah datang daripada parti lain," katanya lagi.