Ketika masih sebagai pembangkang, Pakatan Harapan mengkritik kerajaan BN Johor kerana tidak mengiktiraf ketua pembangkang negeri dan tidak memberi peruntukan pembangunan yang saksama kepada mereka.
Kini BN sudah menjadi pembangkang, dan nampaknya menteri besar baru daripada HARAPAN, Datuk Osman Sapian belum bersedia untuk mengubah dasar itu.
Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri baru akan mengiktiraf ketua pembangkang, Osman perlu meminta pandangan Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan, yang duduk di sebelahnya, sebelum memberi jawapan.
"Kami akan menimbangkannya. Pada masa ini kita belum buat secara rasmi. Untuk melantik mereka secara rasmi, kami perlu melihat kedudukan kewangan. Kami ada komitmen lain maka perlu melihat tahap kewangan.
"Jika dibandingkan dengan negeri, peringkat persekutuan berbeza. Kita tidak boleh ikut persekutuan seratus peratus," katanya pada sidang media di Johor Bahru hari ini.
Wakil daripada PKR dan DAP tiada pada sidang media ini.
Berhubung sama ada beliau akan memberi peruntukan pembangunan kepada ADUN pembangkang, Osman berkata HARAPAN tidak akan memberikannya, sama seperti amalan kerajaan BN dahulu.
"Ini adalah hak kerajaan memerintah. Anda dapat ketika BN (memerintah) dulu?" soalnya kepada Aminolhuda.
Aminolhuda yang juga ADUN Parit Yaani menjawab "tidak".
Kata Osman lagi, "Mengapa kita perlu beri? Ini seperti beri peluru kepada mereka."
Sementara itu, Osman berkata beliau akan mengambil portfolio kewangan dan sumber tanah, bertentangan dengan dasar HARAPAN di peringkat persekutuan yang memisahkan portfolio kewangan dengan perdana menteri.
Beliau mendakwa ini kerana sumber negeri tidak boleh dibandingkan dengan persekutuan.
"Persekutuan ada kementerian kewangan dan sumber kewangan yang lebih besar. Saya akan uruskan soal kewangan dan sumber tanah. Kami tiada menteri kewangan negeri, hanya pegawai kewangan.
Berhubung label "Umno kitar semula", Osman membalas kembali: Mengapa anda tidak bercakap tentang Tun (Dr Mahathir)? Dulu saya Umno, tetapi sekarang perlu ikut keputusan HARAPAN.
Osman adalah Setiausaha BERSATU dan Pakatan Harapan Johor. Beliau sudah menjadi ADUN di Kempas sejak 1999, ketika masih bersama Umno, sebelum digugurkan pada PRU 2013.