Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.
Najib mengumumkan perkara itu pada sidang media di Menara Dato Onn, ibu negara hari ini.
Dengan peletakan jawatan itu juga Biro Politik Umno memutuskan supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik menjalankan tugas-tugas sebagai presiden parti.
Selain Ahmad Zahid, turut hadir dalam sidang media itu ialah pemimpin kanan lain dalam Umno termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Kata Najib, mesyuarat biro politik yang bersidang sebentar tadi kami mengambil kira keadaan semasa "yang begitu getir" kesan pilihan raya umum Rabu lalu.
"Memandangkan bahawa Umno dan BN telah mengalami kekalahan amat berat maka saya sebagai presiden Umno dan pengerusi BN mengmbil keputusan untuk meletakkan jawatan serta-merta," katanya.
Tiada tolok banding
Ekoran pelantikan Ahmad Zahid, Hishammuddin pula dilantik oleh parti itu untuk menjalankan tugas sebagai timbalan presiden Umno dan timbalan pengerusi BN.
"Ketiga-tiga sayap Umno memberi sokongan sepenuhnya kepada cadangan ini," kata Najib.
Untuk rekod, Ahmad Zahid dan Hishammuddin ialah naib presiden Umno. Jawatan timbalan presiden parti itu kosong berikutan pemecatan penyandangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Jun 2016.
Pada sidang media sama Najib turut memberi jaminan bahawa beliau tidak akan meninggalkan Umno.
Kata Najib, beliau yakin bahawa Umno dan BN merupakan parti yang tiada bandingannya.
"Saya ucapkan terima kasih pada semua ahli Umno dan saya beri jaminan saya tidak akan tinggalkan Umno dan terus menyokong Umno.
"Sebab tak ada parti yang ada tolok bandingan dengan Umno dan BN. Insya-Allah Umno akan terus hidup," kata anggota parlimen Pekan itu lagi.
Selain itu, dengan wajah sugul Najib turut memberitahu kekalahan BN memberi peluang kepada parti itu membaiki kelemahan dan kekurangan yang ada.
"Mungkin ini memberi peluang pada kami untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan.
"Walaupun mungkin ini banyak berkisar soal persepsi dari realiti, tapi itulah... siapa yang menang dalam perang persepsi, dia mungkin dapat menguasai sokongan rakyat," kata Najib lagi.
Selepas habis sidang media, Najib kemudian berpelukan dengan Zahid dan Hishammuddin sebelum bersalaman dengan penyokong Umno.