Paling Popular
Terkini

BN Perlis mencadangkan nama Datuk Ismail Kassim sebagai calon menteri besar baru untuk negeri itu.

Ismail ialah anggota dewan undangan negeri (ADUN) Tambun Tulang dan adik kepada Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Perkara itu diumumkan Shahidan di Lapangan Terbang Alor Setar, hari ini.

Shahidan berkata BN Perlis juga telah menyerahkan surat makluman kepada Sultan Perlis, Tuanku Syed Sirajuddini Syed Putra Jamalullail kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

“BN telah bersetuju mencadangkan Datuk Ismail Kasim sebagai calon MB Perlis.

"Saya telah menyampaikan surat bagi pihak BN kepada tuanku dan tuanku akan mengikut perlembagaan yang telah ditetapkan.

“Menteri besar dilantik dari seorang yang telah mendapat sokongan majoriti anggota dewan,” katanya.

Ismail memenangi kerusi Dun Tambun Tulang pada PRU ke-14 lalu dengan majoriti 1,180.

Dia menewaskan calon PKR Maton Din dan A Bakar Ali (PAS).

Tak wajar melompat

Sebelum ini menteri besar Perlis ialah Datuk Seri Azlan Man. Beliau mempertahankan kerusi DUN Bintong dengan manoriti 847 selepas menewaskan calon HARAPAN, Mokhtar Che Kassim, dan Abd Jamil Kamis (PAS).

Ditanya mengapa Azlan digantikan, Shahidan enggan mengulas lanjut sebaliknya memberitahu beliau hanya menjalankan tugasnya sebagai pengerusi BN.

“Nak korek semua, saya tak dapat cerita. Kita dah buat keputusan, itulah keputusannya, yang lain-lain wajar tanya orang lain.

"Tugas saya setakat itu - sebagai pengerusi perhubungan Perlis,” katanya.

Shahidan juga menafikan terdapat ADUN BN Perlis akan melompat parti menyertai HARAPAN seperti yang tersebar di media sosial.

Katanya, BN Perlis telah mendapat majoriti dua pertiga di DUN dengan menguasai 10 kerusi berbanding tiga untuk HARAPAN tiga dan dua PAS.

“Sekarang ni rakyat memilih dalam PRU dan rakyat tentukan.

"Kita hormat rakyat, itu penting dan yang bertanding ahli-ahli politik. Soal lompat tu bagi saya tak wajar timbul dari mana-mana pihak," katanya.

Serah jiwa dan raga

Shahidan yang sebelum ini berkhidmat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum tersingkir ekoran kekalahan BN berkata tidak ada sebab untuk partinya menyertai HARAPAN.

“Nak lompat macam mana sebab HARAPAN menang tiga kerusi, PAS dua kerusi. Kalau nak lompat, ke mana? HARAPAN atau PAS? Nak lompat buat apa (sebab) kita dah menang 10 kerusi,” katanya.

Ditanya kemungkinan kerajaan negeri berdepan kesukaran mendapat peruntukan kerana Putrajaya dikuasai HARAPAN Shahidan berkata orang yang tidak berkenaan dinasihat supaya jangan memandai-mandai.

“Siapa tahu hal funding semua? Mereka tak payah beri pandangan berlebihan daripada pengetahuan.

"Saya antara orang yang mengetahui kedudukan Perlis dan persekutuan dan orang tahu saya jenis manusia yang sentiasa menjaga rakyat, mengutamakan rakyat.

“(Perlis) tak ada masalah dari segi kewangan dan sebagainya. Kita akan teruskan kehidupan dan akan selesaikan manifesto kita di Perlis,” katanya.

Anggota Parlimen Arau itu turut berbangga dengan rakyat Perlis yang memilih BN pada PRU ini.

“Saya berbangga kerana rakyat Perlis setia dengan BN. Justeru saya beri jiwa dan raga kepada rakyat Perlis,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS