Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali memberitahu, tiada sekatan yang dibuat terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ia berikutan dakwaan bahawa Najib dan Rosmah disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen.
"Tidak ada sekatan pun setakat ini," katanya ringkas dalam pesanan WhatsApp kepada Malaysiakini.
Selain itu, ditanya mengapa di ruangan carian Semakan Status Perjalan Imigresen (SSPI) Najib dan Rosmah tertera "Sila rujuk ke pejabat imigresen terdekat", Mustafar tidak mengulasnya.
Sebaliknya beliau sekali lagi mengulangi jawapannya bahawa tiada sekatan dibuat terhadap bekas perdana menteri ke-6 itu dan isterinya.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan, carian SSPI Najib dan isterinya menunjukkan mereka disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen.
Pangkalan data itu yang membenarkan rakyat Malaysia memeriksa sama ada mereka boleh ke luar negara sejak semalam dan sehingga berita ini ditulis (8.40 pagi) masih tidak dapat diakses.
Siasatan Malaysiakini mendapati laman web berkenaan hanya tidak dapat diakses dari dalam Malaysia.
Sekiranya diakses dari dalam negara tanpa menggunakan proksi, laman web berkenaan akan menunjukkan ia tidak dapat diakses (down).
Bagaimanapun, dengan menggunakan proksi luar negara, Malaysiakini berjaya mengakses sistem laman web berkenaan untuk memeriksa status Najib dan Rosmah menggunakan nombor kad pengenalan mereka.
Nombor kad pengenalan itu juga sudah disemak dalam rekod Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mengesahkan identitinya.
Semakan mendapati dengan memasukkan nombor kad pengenalan Najib (530723-06-XXXX) dan Rosmah (511210-05-XXXX) paparan keputusan tertera "Sila rujuk ke pejabat imigresen terdekat".
Ia adalah seperti paparan yang tertera bagi anggota parlimen Pakatan Harapan dan aktivis politik yang tidak dibenarkan ke luar negara sebelum ini.
Lazimnya, sekiranya individu itu tidak disenaraihitamkan oleh Imigresen, paparan keputusan yang tertera adalah "Tiada Halangan".
Tidak dapat dipastikan sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) atau Jabatan Imigresen membuat tetapan (setting) di laman web itu bagi menghalang akses dari dalam negara.
Ini bererti Najib dan Rosmah tidak dapat memeriksa status imigresen mereka kecuali menggunakan proksi.
Bagaimanapun, beberapa jam selepas Malaysiakini melaporkan bahawa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen, semakan terbaru mendapati mereka kini tidak lagi dihalang untuk ke luar negara.
Pemeriksaan Semakan Status Perjalan Imigresen (SSPI) pada jam 9.18 pagi dengan menggunakan nombor kad pengenalan mereka menunjukkan terdapat perubahaan status.
Keputusan yang dipaparkan sekarang adalah “tiada halangan" dalam huruf hijau untuk kedua-dua mereka, menandakan bahawa mereka tidak lagi disenaraihitamkan.