“I'm back (saya kembali).”
Itulah perkataan pertama yang diungkapkan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir Mohamad selepas dilantik menjadi menteri besar Kedah sekali lagi hari ini.
Kehadirannya disambut kira-kira 200 penyokongnya yang bersorak “Hidup Pakatan” selepas beliau mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, Alor Setar.
Bercakap dalam sidang media di TH Hotel Alor Setar, antara perkara pertama yang akan dilakukan selepas menjawat jawatan itu iaitu menunaikan janji 100 hari yang telah dibuat oleh Pakatan Harapan.
“Pertamanya kita akan laksanakan apa yang kita dah janji 100 hari jika HARAPAN menang, dan kita nak selesaikan masalah air yang berlarutan sekian lama dan nak rangka strategi selesaikan masalah air.
“Kita nak tarik pelaburan ke negeri Kedah supaya kita dapat bentuk peluang pekerjaan untuk anak muda kita, perumahan semua ini seperti mana yang dah kita senaraikan dalam manifesto HARAPAN Kedah, 100 hari pertama kita akan selesaikan secepat mungkin,” katanya.
Hari ini, Mukhriz Mahathir mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah buat penggal kedua, selepas beliau dipaksa berundur daripada jawatan itu dua tahun lalu.
Mukhriz mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang kalah teruk dalam PRU, kelmarin.
HARAPAN memenangi 18 kerusi, PAS 15 dan BN 3 di negeri itu.
Alu-alukan pembangkang
Sementara itu, ketika ditanya berhubung jumlah kerusi yang dimenangi HARAPAN Kedah yang agak tipis untuk membentuk kerajaan negeri, Mukhriz berkata pihaknya mempunyai barisan pimpinan yang kukuh untuk mentadbir negeri serta mempunyai hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.
“Macam yang kamu lihat, di Kedah ada 36 kerusi di peringkat DUN. Pembangkang, (PAS) menang 15 dan (BN) tiga dan kita pula (HARAPAN) ada solid block 18 kerusi DUN.
“Saya rasa yang perlu dilihat juga, HARAPAN juga mentadbir kerajaan di Putrajaya, jadi saya rasa kita ada hubungan terus dengan kerajaan persekutuan, dan itu (Putrajaya) juga adalah kita (HARAPAN),” katanya.
Sebuah portal melaporkan muncul spekulasi dua wakil rakyat BN Kedah Norsabrina Mohd Noor dan Suraya Yaacob ingin menyertai HARAPAN, namun Suraya yang juga Adun Sungai Tiang menafikan perkara tersebut.
Mukhriz pula ketika ditanya perkara itu, mengalu-alukan penyertaan mereka jika ingin menyertai HARAPAN.
Sementara itu, Mukhriz yang juga Pengerusi HARAPAN Kedah berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan pembangkang demi memajukan Negeri Jelapang Padi itu.
Beliau turut menasihati pembangkang di negeri itu untuk kurang berpolitik sebaliknya fokus kepada pembangunan Kedah.
“Mesej saya kepada parti pembangkang di Kedah dan penyokong mereka biarlah kita bersatu hati jayakan cita-cita rakyat Kedah.
“Saya akui pembangkang main peranan tapi jangan terlalu berpolitik sampai perancangan kerajaan negeri terjejas. Kalau bersatu hati kerajaan dan pembangkang akan bangunkan Kedah dengan baik.
“Apa juga teguran pembangkang akan kami terima baik untuk kebaikan bersama. Saya ingin merayu pembangkang supaya kita dapat berurusan untuk semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.