Exco Pemuda Umno, Datuk Arman Azha Abu Hanifah hari ini menuntut dan mendesak presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak segera melepaskan jawatannya.
Katanya, tindakan itu penting bagi memastikan proses transformasi parti berkenaan berjalan lancar.
“Kami menuntut dan mendesak Najib Razak segera melepaskan jawatan presiden Umno demi kepentingan parti.
“Kami berpendapat Najib perlu bertanggungjawab susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Rabu lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Arman Azha (foto, atas) berkata beliau membuat kenyataan itu mewakili Briged Kesatria Muda Pemuda Umno kerana meletakkan kepentingan parti di hadapan demi survival Umno.
“Sudah sampainya masa Umno memberikan peluang dan keutamaan pada kepimpinan muda untuk memacu parti ni demi kelangsungan Umno di mata rakyat
“Kami semua sayangkan Umno dan kami mahu Umno kekal relevan pada masa hadapan. Kami bermuhasabah diri utk perbaiki kesilapan kami dan mohon maaf pada seluruh rakyat Malaysia atas kesilapan kami,” katanya.
Di Shah Alam, Pemuda Umno Selangor juga mahu Najib segera melepaskan jawatannya.
Ketuanya, Zainuri Zakaria berkata, Najib perlu bertanggungjawab susulan kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Rabu lalu.
“Kita tidak bercakap mengenai individu, tapi kita bercakap mengenai masa depan parti (Umno).
“Maka adalah lebih baik supaya beliau (Najib) bertanggungjawab serta berundur supaya satu gerakan pembaharuan dapat dilaksanakan dalam parti,” katanya yang dipetik oleh portal pembangkang Utusan Malaysia.
Harian Metro juga melaporkan Ketua Umno Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias juga mendesak Najib mengosongkan jawatan untuk memperbaharui parti.
Beliau turut dipetik mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan meletakkan jawatan kerana didakwa sebagai punca kekalahan parti itu di negeri itu.
Menurutnya, faktor peribadi Najib menyebabkan BN tewas buat kali pertama di peringkat pusat selepas 61 tahun mentadbir negara.
“Begitu juga di Negeri Sembilan, Tok Mat (Mohamad) adalah punca BN tewas.
“Selama ini BN tidak pernah jatuh kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya dipetiik oleh portal mesra Umno itu.
Jalaluddin berkata, dua pemimpin itu perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan parti yang menyebabkan Umno dan BN hilang kuasa.
Beliau adalah ketua Umno bahagian yang pertama mendesak peletakan jawatan Najib dan Mohamad selepas kecewa kekalahan BN dalam PRU-14.
PRU14 menyaksikan penguasaan 60 tahun BN berkubur apabila hanya menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen, selain hilang beberapa negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Terengganu.
Awal hari ini, Pergerakan Pemuda Umno Kedah juga menggesa Najib berundur daripada jawatan presiden bagi menyelamatkan parti itu.
Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata Najib harus mengambil tanggungjawab berikutan kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum ke-14 Rabu lalu.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam perutusannya sempena ulang tahun yang ke-72 parti itu menyeru ahli-ahli supaya membina semula dan mengembalikan Umno kepada semangat asal.
Dalam konteks itu, Khairy berkata, Umno tidak boleh dilihat sebagai parti yang terpisah daripada rakyat, hanya untuk golongan atasan, tidak kisah soal integriti selain dianggap bongkak dan sombong.
Beliau sebaliknya mahukan Umno menjadi parti untuk orang ramai.