PRU14 | Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa mengumumkan cuti umum pada 10 dan 11 Mei selain 13 Mei bagi negeri-negeri yang menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan.
Perkara itu diumumkan selepas Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Ali mengumumkan perkara itu.
Tidak sampai 10 minit selepas itu, Ali berkongsi kenyataan media di Twitter.
"Adalah dimaklumkan kerajaan menetapkan hari Khamis dan Jumaat, 10 dan 11 Mei 2018 ialah hari kelepasan am tambahan seluruh negara sempena pilihan raya umum (PRU) ke-14," kata kenyataan itu.
HARAPAN sebelum ini berjanji akan memberikan cuti umum pada tarikh berkenaan sekiranya menang berjaya mengambil alih kerajaan.
Terdahulu, keputusan menunjukkan HARAPAN mencipta sejarah apabila berjaya memenangi PRU ke-14 dengan majoriti mudah.
Kiraan Malaysiakini mendapati HARAPAN berjaya mendapat sekurang-kurangnya 115 undi, tidak termasuk calon bebas yang direstui mereka di Batu.
BN mendapat 74 kerusi, PAS 17 dan bebas tiga.
Masih terdapat 14 kerusi lagi yang belum ada pemenang yang jelas.