PRU14 l Selepas sebelas hari kempen yang sengit, pilihan raya umum ke-14 akhirnya tiba. Rakyat Malaysia mengundi hari ini dalam apa yang dijangka menjadi pilihan raya umum paling sengit dalam sejarah pilihan raya negara.
Ikut laporan langsung dari pasukan Malaysiakini yang membawa kepada anda perkembangan terkini tentang apa yang sedang berlaku.
LAPORAN LANGSUNG
BERITA UTAMA
- SPR tetap tutup pusat mengundi jam 5 petang
- Beratur lebih enam jam untuk mengundi
- Mahathir yakin menang di Langkawi
- Lagi nama pengundi digunakan orang lain
- Kehadiran FRU di Klang dipersoal
- Jumlah keluar mengundi 69 peratus setakat jam 3 petang.
- Pengundi terkejut nama dipotong
- Pondok panas HARAPAN K'tan sunyi
- Pemimpin BN pun dakwa telefon digodam
- Najib kecam taktik 'panggilan spam'
- SKMM siasat panggilan palsu sasar pemimpin BN, HARAPAN
- BERSIH terima aduan kertas undi ada tanda, kesan
Tiada lanjutan waktu mengundi
5 petang: Kuala Lumpur - Di sebalik harapan yang tinggi dan pengundi yang berbaris panjang di sesetengah tempat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan melanjutkan tempoh pembuangan undi.
"Kami akan menutup pusat pengundian kepada sesiapa yang tidak berada dalam bilik mengundi," kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
Beliau berkata demikian semasa diwawancara RTM1 petang ini.
Kata Mohd Hashim langkah menutup tempat mengundi seperti jadual asal dibuat kerana ia sudah diwartakan.
Katanya mana-mana pengundi yang membuang undi selepas jam 5 petang boleh dicabar di mahkamah.
"Sebab itu SPR menasihatkan orang ramai supaya keluar mengundi seawal mungkin," katanya.
Beratur lebih enam jam untuk mengundi
4.45 petang : SJK (T) Ladang Highlands, Klang - Pengundi kali pertama yang berusia 22 tahun, Bryan memberitahu Malaysiakini beliau terpaksa menunggu lebih enam jam untuk mengundi hari ini.
"Saya tiba di pusat mengundi pada pukul 9 pagi dan hanya mengundi pukul 3:15 petang. Saluran mengundi saya adalah pengundi muda dan pengundi kali pertama.
"Beberapa orang daripada kami bertanya kepada pegawai SPR di sana mengapa ambil masa yang lama. Mereka kata terlalu ramai orang dan mereka lakukan yang terbaik.
"Saya fikir pengurusan sangat lemah, tak ada arahan dan ia sangat teruk. Saya menunggu selama enam jam untuk proses yang kurang daripada satu minit," katanya ketika dihubungi.
Bryan berkata ketika beliau meninggalkan pusat pengundian, terdapat lebih 100 pengundi yang masih beratur menunggu giliran.
Beliau berharap SPR tetap membuka pusat pengundian selepas jam 5 petang untuk memberi peluang kepada mereka yang masih beratur.
"Saya beratur dari 9 pagi, saya tidak boleh bayangkan apa yang akan berlaku kepada mereka yang datang selepas 12 tengah hari. Mereka mungkin terlepas mengundi," tambahnya.
4.45 petang: Kuala Terengganu - Setakat jam ini difahamkan lebih 70 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka di pusat daerah mengundi di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin di sini.
Namun, di luar kawasan pusat pengundian baik PAS mahu pun BN tetap setia meraih undi bagi memenangkan parti masing-masing.
Burger percuma di Damansara Perdana
4.20 petang: Damansara Perdana, Selangor - Kurang sejam lagi sebelum pusat mengundi ditutup, sebuah restoran di sini kehabisan 1,500 burger promosi yang diberikan secara percuma kepada pengundi.
Wicky Lai, pemilik EPIC, berkata promosi itu bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi.
"Malah beberapa krew saya di sini tidak mendaftar untuk mengundi," katanya.
Lai berkata beliau baru-baru ini mendapati namanya tidak berada dalam senarai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pada masa itu sudah terlambat untuk mendaftar semula.
Setakat 4 petang, pelanggan terus masuk ke kedainya di Damansara Perdana dan Lai berkata mereka ditawarkan baucar percuma untuk burger yang boleh mereka tuntut pada hari yang lain.
Mahathir yakin menang di Langkawi
4.15 petang: Langkawi - Calon Parlimen HARAPAN Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad yakin boleh memenangi kerusi parlimen itu, hari ini.
"Nampak macam tulah. (Menang) berapa peratus tak boleh agak tapi untuk Langkawi lah," katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaam Ulu Melaka.
Beliau sebelum ini berkata, peluang untuk HARAPAN memenangi PRU14 iaitu peratusan keluar mengundi perlu melebih 85 peratus.
Ketika ditanya pengamatannya sebelum pusat pengundian ditutup, Dr Mahathir berkata ada beberapa tempat yang sudah memenuhi sasaran.
"Ada sesebuah tempat yang dah capai (85 peratus) dan average saya rasa buat masa ni 70 peratus lebih, sehingga jam 5 petang mungkin kita boleh dapat lebih," katanya.
Lagi nama pengundi digunakan orang lain
4.10 petang : Bukit Tengah - Calon PKR Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung menemui seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila salah seorang pengundi tidak dibenarkan mengundi kerana seseorang telah mengundi menggunakan namanya.
Gooi memberitahu pegawai itu, beliau boleh memeriksa pengundi tersebut kerana jarinya tidak diwarnakan dengan dakwat kekal.
"Kamu tidak boleh halangnya mengundi kerana ini adalah haknya. Ia adalah hak perlembagaan untuk mengundi," kata Gooi kepada pegawai SPR, yang menegaskan lelaki itu tidak dapat mengundi.
"Mengundi dengan menggunakan IC dan nama orang lain adalah penipuan," kata Gooi sambil menambah laporan akan dibuat kepada SPR.
Menurut Gooi, insiden itu berlaku di SJK C Peng Bin, sementara insiden yang lain berlaku di SJK C True Light, Perkampungan Juru.
Analisis: 80 peratus keluar mengundi jika trend berterusan
4 petang - Petaling Jaya - Analisis Malaysiakini: Kadar peratusan sebanyak 69 peratus pada pukul 3 petang memberansangkan, sama seperti pilihan raya umum (PRU) yang lalu, walaupun pengundian dibuat di pertengahan minggu.
Pada PRU lepas, kadar peratusan berada pada 70 peratus pada jam 3 petang. Perbezaan satu peratus boleh dikaitkan dengan pertumbuhan jumlah pengundi.
Pada pilihan raya ini, sejumlah 14,449,200 pemilih mengundi pada hari pengundian, tidak termasuk pengundian awal dan undi pos, berbanding 12,992,661 pemilih biasa pada pilihan raya umum lepas.
Ia bermakna 9.97 juta pengundi telah mengundi pada jam 3 petang berbanding 9.09 juta pengundi pada PRU lepas.
Sekiranya momentum ini dapat dikekalkan, jumlah pemilih boleh meningkat sehingga 80 peratus apabila pengundian ditutup. Kadar peratusan adalah 84.8 peratus pada PRU lepas.
3.59 petang: Klang - Penyandang anggota parlimen Klang Charles Santiago mempersoalkan mengapa Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di SMK Teknik Klang.
"Bercakap dengan pegawai FRU bersama Ketua SPR di Kolej Vokasional Klang (SMK Teknik Klang.)
"Tidak ada sebab FRU ditempatkan di sini, ini adalah proses yang demokratik dan kehadiran mereka menakutkan orang ramai," katanya dalam catatan Facebook.
3.38 petang: SPR mengumumkan jumlah keluar mengundi 69 peratus setakat jam 3 petang.
BERSIH gesa panjangkan masa mengundi
3.30 petang: BERSIH melalui kenyataan media menggesa SPR memanjangkan masa mengundi agar semua pengundi yang sudah memasuki pusat mengundi sebelum pukul 5.00 petang dibenarkan mengundi.
Dalam kenyataan itu, BERSIH berkata pihaknya mendapat banyak laporan dari merata tempat tentang kesesakan yang sedang berlangsung di tempat mengundi.
BERSIH juga menyeru semua rakyat Malaysia yang belum membuang undi untuk segera ke pusat mengundi.
"Sila pastikan anda memasuki perkarangan pusat mengundi sebelum jam 5 petang dan jangan beredar dari kawasan tersebut selagi anda tidak mengundi.
"Mengikut seksyen 4(d) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, pegawai-pegawai SPR akan melakukan kesalahan undang-undang jika pengundi yang berhak mengundi di mana-mana bahagian pilihan raya dinafikan hak mereka untuk mengundi.
"Kami menyeru semua rakyat untuk berada di pusat mengundi untuk memberi sokongan kepada mereka yang sedang beratur tetapi belum mengundi," katanya.
Seorang lagi pengundi dapati namanya dipotong
3.15 petang: Bukit Mertajam, Pulau Pinang - Seorang pengundi di Berapit diberitahu bahawa namanya sudah dipotong ketika dia ke pusat mengundi.
Foo, 65, dimaklumkan oleh pegawai yang menjaga pusat mengundi bahawa seseorang yang menggunakan namanya sudah mengundi untuknya. JUsteru, Foo tidak dibenarkan mengundi.
Foo kemudian menunjukkan kepada media dan calon HARAPAN Bukit Mertajam Sim Chee Keong bahawa jarinya yang belum berdakwat sebagai bukti dia belum mengundi.
Susulan itu, Sim menyatakan kekecewaannya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sim memetik artikel 119 dalam perlembagaan persekutuan menjamin hak untuk mengundi dan berkata Foo telah dinafikan hak itu.
Sim menggesa pengundi yang menghadapi masalah serupa agar melaporkan kepada pegawai SPR dan membuat laporan polis selain memaklumkan calon atau perwakilan.
2.40 petang: SPR mengumumkan jumlah keluar mengundi 62 peratus setakat pukul 2 petang.
SKMM siasat panggilan palsu sasar pemimpin BN, HARAPAN
2.41 petang: Petaling Jaya, Selangor - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang menyiasat aduan berhubung panggilan palsu dari luar negara yang menjadikan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN sebagai sasaran.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, SKMM memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Pondok panas HARAPAN K'tan sunyi
2.00 petang: Kota Bharu, Kelantan - Kemeriahan hari pengundian di sekitar Kota Bharu dilihat tidak berpihak kepada parti Pakatan Harapan (HARAPAN) susulan pondok panas yang didirikan berhampiran Pusat Pengundian tidak menjadi tumpuan ramai.
Malah tinjauan Malaysiakini mendapati, di sesetengah kawasan HARAPAN juga tidak membuka pondok panas seperti mana pihak lawan antaranya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti dan SMK Sering, di Kota Bharu.
Malah, sebuah khemah yang dilihat seperti pondok panas di SMK Sering yang menjadi pusat pengundian bagi parlimen Pengkalan Chepa dan DUN Panchor itu kelihatan tidak dijaga oleh wakil parti tersebut.
Sementara di kawasan parlimen Kota Bharu dan DUN Kota Lama, khemah di pondok panas HARAPAN Kelantan juga dilihat 'dingin' berbanding khemah milik BN dan PAS yang berada di sebelah.
Seorang petugas di pondok panas HARAPAN mendakwa, pondok panas pihak lawan menjadi tumpuan kerana menyediakan tuntutan wang bagi pengundi dari luar.
"Kita HARAPAN tak ada claim (tuntutan) pengundi luar, parti lain mungkin ada.
"Sebab itu ramai orang di khemah mereka, " katanya kepada Malaysiakini.
PAS Dungun yakin pertahan kerusi
2.15 petang: Kuala Terengganu, Terengganu - PAS Dungun hari ini menyatakan keyakinan mereka bahawa parti itu akan dapat mengekalkan kerusi yang disandang mereka sebelum ini.
Yang Dipertua PAS Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli berkata keyakinan tersebut dibuat berdasarkan sokongan yang dipamerkan golongan muda di parlimen tersebut sejak sebelum PRU lagi.
“Kita merasakan bahawa secara keseluruhan di parlimen Dungun kita akan dapat kekalkan kerusi-kerusi yang kita menangi sebelum ini.
“Kita melihat daripada gerak kerja jentera parti kita dan penerimaan pengundi hari ini yang rata-ratanya pengundi muda, yang sejak sebelum pilihan raya lagi dah memenuhi setiap ruang ceramah kita dan kita harap ia diterjemahkan melalui undi mereka hari ini,” katanya yang dihubungi Malaysiakini.
Terdahulu Wan Hasan dihubungi bagi mengesahkan kematian seorang wanita dari Kampung Peladang pagi tadi selepas pengsan ketika sedang beratur di pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai, Dungun, Terengganu.
Kejadian yang berlaku pada pukul 9.05 pagi di pusat mengundi itu turut disahkan oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.
Azhar Idrus yakin T'ganu tukar k'jaan negeri
1.50 petang: Kuala Terengganu, Terengganu - Penceramah terkenal, Azhar Idrus menyatakan keyakinannya bahawa akan berlaku perubahan pada pentadbiran kerajaan negeri Terengganu sebaik sahaja keputusan penuh pilihan raya umum (PRU) ke 14 diumumkan malam nanti.
“Saya rasa akan berlaku perubahan (pada PRU kali ini), insya-Allah dan perubahan itu sememangnya kita harapkan,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.
Penceramah bertaraf selebriti yang popular dengan pendekatan jenaka dalam kuliah agamanya itu juga berkata PRU kali ini dilihat lebih teratur.
“Dan saya tengok keadaan keselamatan di sini yang terbaik kalau nak banding tahun-tahun lepas. Alhamdulillah, terbaik tahun ini,” katanya.
Azhar turut menyeru pengundi khususnya golongan muda untuk keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab kepada negara.
“Bagi yang belum mengundi tu ingat petang ini (pusat pengundian) tutup jam 5 petang, jadi jam 4 petang paling akhir keluar rumah untuk tunaikan tanggungjawab.
“Raya ini lima tahun sekali, insya-Allah kita buat yang terbaik,” tambahnya.
Terdahulu kehadiran penceramah terkenal, Azhar di Sekolah Kebangsaan Ladang Gemilang 1 mencuri tumpuan ramai khususnya pengundi muda.
Azhar yang juga merupakan pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang hadir ke sekolah terbabit bagi menunaikan tanggungjawabnya kepada negara.
Selain menjalankan tanggungjawab, kehadiran Azhar juga dikatakan dapat memberi semangat kepada orang ramai untuk mengundi.
Di kesempatan itu juga orang ramai yang hadir dilihat turut bergambar bersama beliau.
1.40pm: Petaling Jaya, Selangor - SPR mengumumkan jumlah keluar mengundi 55 peratus setakat pukul 1 petang.
Pengundi terkejut nama dipotong
1.00tengahari: Gopeng, Perak - Seorang pengundi Gopeng terkejut apabila mendapati namanya sudah dipotong ketika tiba di pusat pengundian di SJKC Gunung Rapat.
Ketika pengundi wanita itu memasuki bilik nombor 10 untuk mengundi, dia mendapati namanya sudah dipotong yang juga bererti sudah mengundi.
"Pegawai SPR bertanya pendapat PACABA kemudian memberikannya borang untuk diisi dan akhirnya dia boleh mengundi," kata calon PKR Simpang Pulai Tan Kar Hing kepada media.
Najib kecam taktik 'panggilan spam'
12.00tengahari: Petaling Jaya, Selangor - Perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak mengecam 'panggilan spam' yang diterima pemimpin BN dan berkata telah mengarahkan agar tindakan diambil.
"Saya mengecam sekeras-kerasnya taktik panggilan spam yang diterima ramai pemimpin BN dari nombor antarabangsa. Telefon yang diserangi spam ini tak dpt berfungsi seperti biasa.
"Selain itu, banyak laman web BN pun tak boleh diakses. Saya telah arahkan supaya tindakan segera diambil," katanya.
Antara pemimpin BN yang mendakwa menerima panggilan spam adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Datuk Seri Razali Ibrahim dan Liang Teck Meng.
12.20tengahari: Petaling Jaya, Selangor - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kiraan awal jumlah keluar mengundi sebanyak 36 peratus setakat pukul 11 pagi tadi.
Pemimpin BN pun dakwa telefon digodam
11.31pagi: Selain pemimpin HARAPAN, beberapa pemimpin BN juga mendakwa telefon dan emel mereka digodam.
Antaranya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Agung GERAKAN Liang Teck Meng.
"Ini bertujuan untuk menghalang kami dari berhubung dengan jentera kami, ini merupakan taktik kotor," kata Abdul Rahman selepas mendakwa menerima panggilan dari luar negara.
Khairy says, "My phone seems to be under some sort of spam attack this morning, strange."
Sementara Khairy berkata, "Telefon saya seperti diserang dengan spam pagi ini, pelik," katanya melalui Twitter.
Adakah telefon pemimpin BN juga digodam, soal Wan Azizah
11.10pagi: Permatang Pauh, Pulau Pinang - Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa telefon dua pembantunya yang bertanggungjawab menguruskan jadualnya turut digodam.
"Bila mereka jawab panggilan, individu yang membuat panggilan itu hanya berkata terima kasih menjawab panggilan," katanya di sidang media di Yayasan Aman.
Bagaimanapun, Wan Azizah menjelaskan telefonnya setakat ini tidak digodam.
Sementara itu, Wan Azizah mempersoalkan sama ada pemimpin BN menerima serangan serupa, kerana jika tidak ia akan dilihat sebagai taktik kotor untuk mengelirukan orang ramai.
Calon AMANAH Permatang Pasir Faiz Fadzil pula mendakwa nobor indeks yang diberikan kepada pengundi tertentu tidak sama dengan maklumat yang diberikan sebelum ini yang menyebabkan pengundi yang datang tanpa merujuk kaunter akan masuk bilik mengundi yang salah.
"Sesetengah mereka terpaksa turun bawah untuk semak nombor bilik dan naik atas semula, ini akan menimbulkan masalah dan ada pengundi yang akan putus asa untuk teruskan mengundi," katanya.
BERSIH terima aduan kerta undi ada tanda, kesan
11.00pagi: Petaling Jaya, Selangor - BERSIH melalui kenyataan di media sosial berkata pihaknya menerima aduan bahawa terdapat tanda atau kesan pada kertas undi di Batu dan di Sekinchan
"Tanda atau kesan ini boleh menyebabkan undi anda rosak," kata BERSIH menerusi Twitter.
Justeru, BERSIH menggesa pengundi meminta kertas undi yang bersih sekiranya terdapat sebarang tanda atau kesan seumpamanya.
9.30pagi: Lembah Pantai, Kuala Lumpur - Kedua-dua calon BN Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dan saingannya Fahmi Fadzil dari PKR mempunyai beberapa aduan terhadap SPR.
Fahmi memberitahu pemberita mengenai kelewatan tiba slip pengundian pos untuk beberapa petugas SPR.
Katanya, beliau diberitahu ada kakitangan SPR yang bertugas yang telah mendaftar untuk pengundian pos, masih belum menerima kertas undi mereka sehingga hari ini.
Katanya, tujuh atau lapan orang telah memberitahunya mengenai perkara itu.
Beliau berkata ia sepatutnya tiba lebih awal.
Beliau menyifatkannya sebagai satu kegagalan besar SPR.
Sementara itu Nong Chik menegur SPR kerana tidak mempunyai kemudahan untuk pengundi berkerusi roda.
Beliau menegaskan bagaimana orang kurang upaya terpaksa menaiki anak tangga untuk ke tingkat pertama sekolah untuk mengundi.
Menurutnya, saluran 2 berada di tingkat atas, manakala saluran 1 di tingkat bawah, tetapi pengundi yang kurang upaya perlu mengisi borang untuk menukar lokasi, dan borang itu tidak mencukupi.
Katanya ada warga emas yang menunggu sejak jam 7.30 pagi, pulang tanpa mengundi kerana mereka terpaksa menunggu di bawah panas terik, katanya kepada media sambil menegur SPR kerana tidak membantu orang kurang upaya untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
9.30pagi: Kampar, Perak - Calon DAP Keranji Chong Zhemin mengadu bahawa beberapa kereta dengan pelekat logo BN telah diletakkan di luar pusat mengundi di SMK Kampar.
Beliau berkata, pihaknya telah membuat aduan rasmi kepada SPR mengenai individu yang memakai baju BN dan berkempen di luar pusat pengundian," katanya
9.27pagi - Langkawi - Calon Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad mengunjungi pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi hari ini.
Lawatan ini bagi melihat jumlah pengundi yang turun mengundi pagi ini.
Beliau turut disapa pengundi dan ada diantara mereka yang mengambil kesempatan bersalam dengan Pengerusi BERSATU itu.
Dr Mahathir dijangka akan mengundi di Titi Gajah, Alor Setar.
9.25 pagi: Permatang Pauh, Pulau Pinang - Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang bertanding untuk kerusi Parlimen Pandan, mengundi di SK Seri Penanti, Kubang Semang.
Dia disambut oleh para pengundi dan ada juga yang meminta untuk bergambar dengannya.
Anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar, yang bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh, akan mengundi di SMK Bukit Bandaraya di Bangsar, Kuala Lumpur.
9.15pagi: Semporna, Sabah - Ahli Parlimen Semporna dan presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiba untuk mengundi di SK Bubul Semporna.
Shafie bersalaman dengan pengundi di sekelilingnya dan memohon maaf kerana melangkau barisan dengan berkata beliau mempunyai urusan penting yang perlu diuruskan.
Shafie yang bertanding kerusi parlimen Semporna, ditemani oleh isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib, yang telah mengundi di pusat pengundian yang berbeza.
Presiden WARISAN itu juga bertanding kerusi DUN Senallang. Shafie berdepan sepupunya Nasir Sakaran dari BN.
9.15pagi: Air Putih, Pulau Pinang - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengutuk serangan penggodaman terhadap nombor telefon calon dan pemimpin Pakatan Harapan.
"Kami tidak menjangka (serangan) itu, kami fikir hanya sesetengah saja yang terjejas tetapi nampaknya ia melibatkan hampir semua pemimpin, dari atas hingga ke peringkat akar umbi," kata Lim.
Katanya, mereka tidak mempunyai pilihan selain mewujudkan sistem selari untuk memulihkan komunikasi mereka di dalam parti itu dan dengan ejen mereka di setiap stesen mengundi.
"Selain menerima panggilan masuk, nombor kami juga digunakan untuk membuat panggilan," katanya.
Lim berkata laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
9.15pagi: Marang, Terengganu - Calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Mohamad Khalil Abdul Hadi tiba di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Rusila.
Muhammad Khalil tiba 15 minit selepas ayahnya yang juga presiden PAS selesai membuang undi di pusat pengundian bagi DUN Rhu Rendang.
Ketika ditemui media Khalil sempat menyeru pengundi muda untuk keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dan muslim.
Kata Khalil, anak muda hari ini tidak perlu percaya dengan dakyah jahat yang dibawa pihak tidak bertanggungjawab bagi memboikot pilihan raya.
“Saya seru anak muda tunaikan tanggungjawab sebagai warganegara yang layak mengundi bagi keluar mengundi beramai-ramai hari ini dan tanggungjawab sebagai seorang muslim untuk memilih kepimpinan negara yang akan menentukan hala tuju politik dalam masa beberapa penggal ini.
“Saya harap tidak termakan dengan dakyah untuk memboikot pilihan raya atau pun membuat undi rosak kerana ia adalah satu dakyah yang tidak menguntungkan negara dan agama sendiri,” katanya.
9.08pagi: Muar, Johor - Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak boleh menawarkan "bulan dan matahari", namun rakyat tidak akan menerima tawarannya itu, kata bekas timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, Najib, sebagai perdana menteri sementara, juga tidak mempunyai kuasa untuk membuat tawaran yang diumumkannya malam tadi.
Menurutnya, beliau tidak tahu kenapa perdana menteri sementara itu sangat terdesak, sedangkan dia tidak mempunyai kuasa untuk membuat pengumuman besar.
"Ini seperti beliau tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan...," tambanya selepas mengundi di SMK Sri Muar.
Namun, tambahnya walaupun Najib menawarkan matahari dan bulan, rakyat tidak akan menerima, kerana prinsip utama adalah kepercayaan.
Menurutnya, tidak ada lagi kepercayaan dan Najib telah hilang semua kredibiliti.
9.05pagi: Lembah Pantai, Kuala Lumpur - Calon BN Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pantai bersama isteri dan penyokongnya.
Ketika tiba di pintu sekolah, beliau menerima laungan "Percaya, RNC".
Beliau juga sempat beramah mesra dengan orang ramai yang telah selesai mengundi di pusat daerah mengundi berkenaan.
Seorang wanita berkerusi roda turut mengambil kesempatan bersalaman dan memeluk Nong Chik sambil menitiskan air mata.
Seorang lagi wanita warga emas yang bertongkat turut bersalaman dengan Nong Chik sambil memberitahu bahawa dia setia kepada bekas menteri Wilayah Persekutuan berkenaan.
"Datuk, saya setia dengan datuk," kata wanita berkenaan dan menerima ucapan "terima kasih" dari calon BN berkenaan.
8.50pagi: Marang, Terengganu - Calon PAS bagi kerusi Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba 8.05 pagi di Sekolah Kebangsaan Rusila.
Abdul Hadi mengundi bagi saluran satu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.
Sebaik selesai mengundi sekitar jam 8.20 pagi Abdul Hadi sempat bersalaman dan beramah mesra dengan pengundi DUN tersebut.
Pagi ini juga Abdul Hadi juga berkesempatan menemui rakan sekolah beliau.
Sementara selesai semua proses pengundian Abdul Hadi menemui media dan menyatakan kepuasan hati beliau sepanjang kempen pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Bahkan Abdul Hadi berkata beliau turut sedia menerima sebarang keputusan yang akan diputuskan lewat malam ini.
“Alhamdulillah, kempen berjalan dengan lancar dan tenteram. Kita juga telah mengarahkan pengikut PAS supaya semua bertenang, beradab dan mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.
“Ini pendekatan yang baik, kita boleh berbeza pandangan tetapi jangan berbalah.
“Sama ada menang atau kalah kita terima hakikat. Rakyat buat keputusan kita terima, jangan menyusahkan rakyat,” katanya.
8.35pagi: Bukit Katil, Melaka - calon BN untuk Hang Tuah Jaya, Mohd Ali Rustam sedang beratur di SK Dato Demang Hussein untuk mengundi.
Tiba kira-kira jam 8.15 pagi, beliau bertegur sapa dengan seorang wanita warga emas, di atas kerusi roda yang sedang menunggu untuk mengundi.
Apabila pengundi sedar kehadirannya, ada yang datang bersalaman dengannya.
8.32pagi: Tumpat, Kelantan - MB Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengundi di SMK Kampung Laut, Tumpat.
8.20pagi: Pasir Gudang, Johor - Menteri Besar sementara Datuk Seri Khaled Nordin mengundi di SK Taman Rinting 1.
Katanya, beliau percaya rakyat akan mengundi secara bijak, dan beliau percaya BN akan menang terutamanya di Johor.
Beliau berharap lebih banyak orang Melayu akan keluar untuk mengundi tetapi ada keraguan mengenai pengundi Cina.
"Saya harap banyak akan datang keluar undi, terutamanya orang Melayu, tetapi kaum Tionghua tak macam dulu sebab macam-macam isu," katanya kepada pemberita selepas mengundi.
8.20pagi: Pengkalan Chepa, Kelantan - Seorang lagi anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat - Nik Mohamad Abduh - tiba di pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti, Kota Bharu, untuk mengundi.
Nik Mohamad Abduh yang juga calon PAS bagi parlimen Bachok diiringi beberapa penyokong masuk ke pusat pengundian berkenaan selepas abangnya Nik Omar selesai melakukan proses tersebut di lokasi sama.
Turut kelihatan anak ketiga bekas menteri besar Kelantan itu, Nik Adli.
8.16pagi: Bagan Datuk - Datuk Seri Zahid Hamidi bersama isteri dan anak sulung mengundi di Madrasah Manbail Ulum, Sungai Nipah Darat.
8.15pagi: Semporna, Sabah - Pengundi di kawasan Parlimen Semporna beratur di bawah panas terik walaupun pintu tempat mengundi belum dibuka .
Bagaimanapun, pihak polis dan SPR membenarkan empat orang masuk dalam setiap beberapa minit.
Kerana panas terik, seorang lelaki boleh mendengar meminta pegawai SPR di pintu masuk untuk berbuat sesuatu, sambil menuding ke arah barisan pengundi yang beratur panjang
Seorang pegawai polis memberitahu Malaysiakini bahawa membenarkan pengundi masuk sedikit demi sedikit diperlukan untuk mengawal keadaan.
"Kami tidak mahu terjadi perkara di luar kawalan dan barisan di dalam juga panjang," katanya.
Namun, wanita hamil, mereka yang membawa anak, orang kurang upaya dan warga emas diberi keutamaan untuk masuk terlebih dahulu.
8.05pagi: Pengkalan Chepa - Calon HARAPAN DUN Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz tiba di pusat pembungan undi di SMK Raja Sakti, Kota Bharu.
Anak kedua bekas Allahyarham mursyidul am PAS itu tampil dengan memakai baju Melayu berseluar hitam.
Beliau dilihat beratur di saluran dua pusat pembungan itu bagi pengundian di DUN panchor dan parlimen Pengkalan Chepa.
Nik Omar menjadi orang pertama mngundi di pusat pengundian berkenaan.
Calon menteri besar Kelantan HARAPAN itu berkata, beliau memilih untuk turut mengundi seawal mungkin kerana perlu bergegas melawat pusat pengundian di kawasan ditandinginya.
"Alhamdulillah pagi ini bermulanya pembuangan undi untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) seperti biasa.
"Insya-Allah tak ada apa masalah, kita rasa semua calon ada keyakinan sendiri," katanya ketika ditemui media.
Tambah Nik Omar, beliau akan menerima apa jua keputusan yang dibuat rakyat.
8.03pagi: Calon Bebas DUN Bukit Antarabangsa, Azwan Ali, tiba di Pusat Mengundi SK Klang Gate di Jalan Genting Klang. Menurut Bernama Beliau mencuri tumpuan para media dan pengundi lain dengan berjubah serba putih dan memakai kasut berlainan warna, manakala calon BN Parlimen Jeli Mustapa Mohamed antara yang awal tiba di SK Batu Gajah, Tanah Merah untuk mengundi.
8.00pagi: Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan - Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil juga memberi amaran bahawa serangan penggodaman besar-besaran sedang berlaku yang menyasarkan pemimpin dan calon Pakatan Harapan.
Menulis di Twitters, katanya, beliau menerima terlalu banyak e-mel dan panggilan telefon, seperti yang dilaporkan oleh DAP Pulau Pinang sebelum ini.
Apabila dihubungi, beliau memberitahu Malaysiakini serangan bermula sejak 7.50 pagi.
"Ini akan menjejaskan komunikasi kami, khususnya di kalangan para pemimpin.
"Saya mendapat panggilan telefon dari AS setiap minit," kata calon Lembah Pantai itu.
"Saya juga diberitahu bahawa laman Facebook Datuk Seri Azmin Ali telah digodam.
"Calon HARAPAN di Tanjung Bungah Zairil Khir Johari juga menerima panggilan tanpa henti," katanya.
Telefon calon lain HARAPAN di Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, juga telah digodam, katanya.
Tambahnya, beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kemudian.
"Ayuh SKMM, buat sesuatu," katanya.
8.00pagi: Air Putih, Pulau Pinang - Beberapa kakitangan yang bertugas di pusat khidmat setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mendakwa telefon mereka terus menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali, yang menghalang mereka daripada menggunakan telefon mereka.
Menurut seorang kakitangan Hong Kian Beng, 57, panggilan itu diterima sejak jam 7.50 pagi - dalam masa selang 1 minit.
"Kami tidak berani mengambil panggilan itu untuk mengelakkan digodam," katanya.
Calon Air Putih, Lim, telah sampai di pusat khidmatnya 15 minit kemudian dan juga mendakwa telefonnya telah digodam dengan cara yang sama.
"Saya tidur kira-kira pukul 2.30 pagi, dan telefon masih dalam keadaan biasa."
Tetapi, katanya, beliau dapati telefonnya telah mencatatkan banyak panggilan yang tidak dijawab apabila saya bangun."
Beliau berkata bapanya Lim Kit Slang juga menghadapi masalah yang sama.
8.00pagi: Pusat-pusat mengundi di seluruh negara dibuka secara rasmi 8 pagi.
7.50pagi: Alor Setar - walaupun pusat pengundian belum dibuka, kira-kira 40 orang berkumpul di SMK Tunku Abdul Rahman menunggu peluang mereka untuk mengundi.
Salah seorang daripada mereka, pesara tentera Ramlan Hanafiah, 56, berkata dia tiba lebih awal pada jam 7.45 pagi kerana dia bersemangat untuk mengundi dan mahu mengelakkan kesesakan.
"Ia akan sesak jika saya datang lambat, jadi saya datang lebih awal," katanya kepada Malaysiakini.
Langit cerah di Alor Setar, tetapi hujan diramalkan turun di seluruh Kedah pada hari ini.
7.15pagi: Orang ramai mula beratur seawal 7.15 pagi untuk mengundi di seluruh negara, lapor Bernama
7.00pagi - Rakyat Malaysia mengundi hari ini untuk memilih kerajaan yang akan menerajui negara bagi tempoh lima tahun akan datang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Seramai 14,449,200 daripada jumlah keseluruhan 14,940,624 pemilih berdaftar yang diwartakan akan mengundi mulai 8 pagi hingga 5 petang ini, lapor Bernama .
Baki pemilih yang lain adalah pengundi tidak hadir luar negara, pengundi pos dan pengundi awal.
Seramai 2,333 calon bertanding bagi merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum kali ini. Pada hari penamaan calon, Barisan Nasional (BN) menang tanpa pertandingan kerusi DUN Rantau di Negeri Sembilan.
Untuk tujuan pengundian hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 8,253 pusat mengundi yang mempunyai 28,115 saluran mengundi.
Kos pengendalian PRU14 dianggarkan berjumlah RM500 juta.
Bagi menjalankan proses PRU14, SPR melantik 222 pegawai pengurus pilihan raya selain 259,391 petugas pilihan raya.
SPR menjangkakan keputusan PRU14 akan dapat diketahui seawal 9 malam.